KAHRAMANMARAS: Pakar perubatan dari Malaysia tidak terlepas daripada berdepan detik mencemaskan, apabila merasai sendiri kegawatan situasi gempa bumi di bangunan kediaman di Gazientep.

Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Anhar Kamarudin berkata, pengalaman melalui episod gempa susulan itu terlalu sukar untuk dilupakan.

“Pengalaman yang saya tak akan lupakan... sewaktu situasi gempa dengan bacaan magnitud 4.9 pada waktu itu.

“Ketika gegaran berlaku, saya dalam bangunan di tingkat tiga… memang saya dapat rasa bangunan bergoyang,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Menceritakan lanjut situasi itu, Dr Anhar mengakui tidak mampu menyorokkan perasaan takut dan bimbang selain hanya mampu berdoa agar mereka selamat.

Ujarnya lagi, gegaran yang berlaku ketika itu adalah pada jam 10 malam ketika beliau dan rakan-rakan sejawatan sedang berehat.

Kejadian itu juga berlaku sehari sebelum pasukan mereka bertolak ke Kahramanmaras dari Gazientep.

“Memang perasaan takut semua ada… tapi saya tetap tak boleh bayangkan bagaimana mereka alami situasi yang lebih buruk dan gegaran yang lebih panjang,” katanya lagi.

Dr Anhar antara sembilan pegawai perubatan dari Malaysia yang bertugas di Turkiye untuk memberikan rawatan kepada mangsa memerlukan.