'Gencatan senjata akan berjaya’ - Zelensky sambut baik sekatan EU dan AS ke atas Rusia

Zelensky menganggap sekatan ke-19 AS dan EU langkah penting menekan Rusia supaya setuju dengan rundingan gencatan senjata. - Foto Reuters
BRUSSELS: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyambut baik tindakan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baharu terhadap Rusia.
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengenakan pakej sekatan ke-19 terhadap Rusia, termasuk larangan import LNG dan tindakan ke atas syarikat minyak Rosneft serta Lukoil.
- Langkah ini bertujuan melemahkan kewangan Rusia, menekan Moscow supaya bersetuju dengan rundingan gencatan senjata, dan mempercepat usaha menamatkan perang yang berlarutan sejak 2022.
- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyambut baik keputusan tersebut, manakala EU menekankan keperluan terus menekan Rusia sehingga tercapai perdamaian; lebih 12,000 orang awam Ukraine terbunuh sejak konflik bermula.
“Keputusan pakej sekatan ke-19 ini adalah penting bagi kami, terima kasih banyak-banyak dan hari ini ia bersama-sama dengan keputusan semalam (Amerika Syarikat) Presiden (Donald) Trump.
“Mengenai tenaga, juga pakej sekatan. Kami menunggu ini. Tuhan memberkati, ia akan berjaya dan ini sangat penting,” katanya.
Sekatan terbaharu itu disifatkan sebagai antara tekanan paling besar terhadap Moscow sejak pencerobohan ke atas Ukraine bermula pada 24 Februari 2022.
Pada Rabu, Amerika Syarikat mengumumkan sekatan terhadap dua syarikat minyak utama Rusia, Rosneft dan Lukoil, atas dakwaan gagal menunjukkan komitmen menamatkan perang.
Jabatan Perbendaharaan AS menjelaskan, langkah itu bertujuan melemahkan keupayaan kewangan Rusia membiayai operasi ketenteraan dan mengurangkan hasil eksport tenaga negara itu.
Sementara itu, negara-negara Kesatuan Eropah pada Khamis secara rasmi meluluskan pakej sekatan ke-19, yang turut merangkumi larangan import gas asli cecair (LNG) dari Rusia.
“Saya sangat gembira kerana kita akhirnya mencapai pakej sekatan ke-19 ini, kerana kita perlu terus menekan Rusia untuk datang ke meja rundingan dan mencapai keamanan,” kata Pesuruhjaya Pembesaran Kesatuan Eropah, Martha Kos, pada sidang media di Brussels.
Keputusan itu dimuktamadkan selepas Slovakia menarik balik bantahan, sekali gus membolehkan 27 negara anggota EU mencapai persetujuan sebulat suara.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 12,000 orang awam Ukraine telah terbunuh sejak perang bermula, dengan jutaan lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat serangan berterusan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami