Skip to main content

Dunia

Kapal tangki minyak rentasi Hormuz tiba di Jepun, pertama sejak perang Iran

Sumber: KYODO VIA REUTERS
Kapal tangki itu membawa dua juta tong minyak mentah ke wilayah Aichi di tengah Jepun, jumlah yang bersamaan kira-kira 80 peratus permintaan domestik harian, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu. - Gambar Reuters

TOKYO: Sebuah kapal tangki minyak Jepun tiba di negara itu pada Isnin, menjadi yang pertama melalui Selat Hormuz sejak tercetusnya perang Iran, lapor Kyodo News.

Kapal tangki yang dikendalikan oleh unit syarikat penapis utama Idemitsu Kosan Co. itu membawa dua juta tong minyak mentah ke wilayah Aichi di tengah Jepun, jumlah yang bersamaan kira-kira 80 peratus permintaan domestik harian, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu.

Sumber berkenaan berkata, semua anak kapal termasuk tiga warga Jepun, berada dalam keadaan sihat.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara pada sidang media berkata, ketibaan kapal itu merupakan “berita gembira dari segi menjamin bekalan tenaga yang stabil.”

Susulan penutupan Selat Hormuz secara efektif oleh Iran, kerajaan Jepun meminta Tehran memastikan laluan bebas dan selamat melalui selat itu bagi kapal dari semua negara.

Kihara, yang juga jurucakap utama kerajaan berkata, 39 kapal berkaitan Jepun masih terkandas di Teluk Parsi, termasuk sebuah kapal yang membawa anak kapal warga Jepun.

Beliau menegaskan, pihaknya akan terus menggerakkan usaha diplomatik secara proaktif dan memastikan penyelarasan supaya semua kapal dapat melalui selat itu secepat mungkin.

Sebuah lagi kapal tangki minyak milik syarikat minyak utama Jepun, Eneos Holdings Inc., turut melalui Selat Hormuz pada pertengahan Mei dan dijangka tiba di Jepun antara akhir Mei hingga awal Jun.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video

Advertisement