KUALA LUMPUR: Ahad menandakan hari ke-100 sejak perang Israel-Hamas meletus pada 7 Okt di Semenanjung Gaza dan masih belum ada sebarang petanda bahawa gencatan senjata dapat dilaksanakan sedangkan angka korban dan kemusnahan terus meningkat.

Bagaimanapun, penganalisis Ahmad Badri Abdullah tetap berharap gencatan senjata berkekalan dapat dicapai memandangkan proses rundingan melibatkan pihak berkepentingan masih berterusan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia memberitahu Bernama bahawa beberapa faktor menyumbang kepada harapan gencatan senjata, termasuk pembebasan tebusan, kesediaan Hamas untuk terus berunding, gesaan masyarakat antarabangsa dan Amerika Syarikat (AS) mengurangkan sokongannya terhadap pencerobohan Israel.

Ahmad Badri berkata terdapat usaha antarabangsa untuk menghentikan pencerobohan Israel di Gaza ketika ini, menerusi pemohonan yang dikemukakan Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap rejim Israel yang melanggar Konvensyen Genosid 1948 menerusi operasi ketenteraannya di Gaza.

"Afrika Selatan menyenaraikan pelanggaran Konvensyen Genosid, memetik tindakan seperti genosid terhadap rakyat Palestin terutamanya kanak-kanak, pemusnahan tempat tinggal, pengusiran, pemindahan dan melaksanakan sekatan ke atas sumber asas seperti makanan, air dan bantuan perubatan.

"Negara itu juga meminta ICJ melaksanakan langkah sementara agar Israel menangguhkan operasi ketenteraan, menghentikan pembunuhan rakyat Palestin, mencegah pemindahan paksa dan mengatasi masalah kekurangan akses kepada makanan, air, bahan api, tempat tinggal dan sanitasi yang mencukupi," katanya.

Malaysia secara rasmi mengumumkan sokongannya terhadap kes yang dikemukakan Afrika Selatan manakala perbicaraan pertama kes itu diadakan di The Hague pada 11 dan 12 Jan.

Sementara itu, penerimaan resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 Dis juga merupakan usaha penting bagi menghentikan serangan berterusan Israel di Gaza, kata Ahmad Badri.

Beliau berkata negara jiran iaitu Qatar menggunakan pengaruhnya dan kepakaran diplomatik ke atas Hamas di kawasan konflik bagi membantu mengetuai rundingan bersama Mesir.

Pertubuhan antarabangsa seperti Oxfam dan Project HOPE juga menggesa gencatan senjata manakala pada 27 Dis lalu, Pengerusi IAIS Malaysia Maszlee Malik telah mengutus surat kepada 19 pemimpin agama di seluruh dunia meminta mereka menyeru kepada gencatan senjata di Gaza.

Bagaimanapun, Ahmad Badri berkata terdapat kebimbangan dan cabaran yang boleh menghalang gencatan senjata yang berkekalan, termasuk potensi keganasan kembali berlaku jika akar umbi kepada pencetus konflik itu masih gagal ditangani.

"Situasi di Gaza terus meruncing dengan penduduk berdepan masalah hilang tempat tinggal, kelaparan dan ketakutan terhadap keganasan dan kebimbangan pengusiran dari Semenanjung Gaza," katanya.

Hamas menegaskan bahawa gencatan senjata sepenuhnya adalah prasyarat utama selain menamatkan pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

"Organisasi (Hamas) bertegas serangan Israel di Gaza perlu dihentikan sepenuhnya dan bukan hanya untuk sementara sahaja sebelum rundingan boleh dimulakan...," katanya.

Mengenai peranan Malaysia, Ahmad Badri menegaskan bahawa Malaysia boleh memanfaatkan kedudukan dan pengaruhnya yang unik demi memperjuangkan hak dan maruah rakyat Palestin.

Beliau menekankan beberapa cadangan dasar boleh dilaksanakan Malaysia, termasuk memainkan peranan kepimpinan di platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mengetuai pembentukan badan pemikir yang boleh bertindak sebagai pelobi untuk mempengaruhi Amerika Syarikat yang merupakan sekutu utama dan penyokong Israel.

"Kumpulan pemikir (think tank) boleh bekerjasama dengan negara-negara sekutu utama seperti Turkiye, Pakistan, Indonesia dan Afrika Selatan yang berkongsi pandangan dan kepentingan serupa mengenai perkara itu serta menyelaraskan usaha mereka untuk mempengaruhi AS dan negara Barat lain," katanya.

Di peringkat serantau, Ahmad Badri berkata Malaysia juga harus memainkan peranan aktif menerusi platform serantau seperti Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kerana ia boleh mengumpul sokongan dan solidariti negara-negara membangun untuk kepentingan Palestin.

Ahmad Badri juga mencadangkan agar Malaysia mengambil bahagian dan memulakan dialog dengan pemimpin agama global, mengambil peranan utama dalam dunia Islam dan mengeluarkan fatwa yang komprehensif dalam menangani isu Palestin berdasarkan perspektif Islam.

-- BERNAMA