Skip to main content

Dunia

Gencatan senjata dua hari Rusia sempena sambutan Hari Kemenangan

Participants dance during the Waltz of Victory event, held to recreate the atmosphere of spring 1945 and celebrate the upcoming Victory Day, which marks the anniversary of the defeat of Nazi Germany in World War Two, in Moscow, Russia, May 7, 2026. REUTERS/Ramil Sitdikov TPX IMAGES OF THE DAY
Peserta menari semasa acara Waltz of Victory yang diadakan bagi menghidupkan semula suasana musim bunga 1945 serta meraikan sambutan Hari Kemenangan yang bakal tiba, sempena memperingati ulang tahun kekalahan Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua, di Moscow, Rusia, pada 7 Mei 2026. - Gambar Reuters

ISTANBUL: Gencatan senjata dua hari yang diisytiharkan Rusia sempena sambutan Hari Kemenangan pada 9 Mei mula dikuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi.

Gencatan senjata itu bermula pada tengah malam Khamis (2100 GMT) dan akan berlangsung hingga Ahad, ketika ibu negara Rusia dijadual menganjurkan perarakan tahunan Hari Kemenangan di Dataran Merah, Moscow pada Sabtu.

Hari Kemenangan disambut pada 9 Mei di Rusia dan beberapa negara lain termasuk bekas republik Soviet bagi memperingati kemenangan Kesatuan Soviet ke atas Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua, konflik yang dikenali Rusia sebagai Perang Patriotik Agung.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia pada Khamis, pihak Rusia akan menghentikan semua permusuhan di barisan hadapan dan serangan udara terhadap “lokasi penempatan serta kemudahan infrastruktur yang dikaitkan dengan kompleks industri ketenteraan dan angkatan tentera” Ukraine sepanjang tempoh gencatan itu.

“Kami menyeru pihak Ukraine supaya mengikuti langkah ini,” menurut kenyataan itu, sambil memberi amaran bahawa Rusia akan “bertindak balas sewajarnya” jika gencatan senjata itu dilanggar atau sekiranya Ukraine cuba menyerang kawasan dan kemudahan di wilayah Rusia.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa Rusia akan melancarkan serangan peluru berpandu “besar-besaran” ke atas Kyiv jika Ukraine mengganggu sambutan Hari Kemenangan di Moscow pada Sabtu.

Ukraine pada Isnin mengumumkan akan turut melaksanakan gencatan senjatanya sendiri mulai tengah malam Selasa, namun menuduh Rusia melanggar “gencatan sementara” itu dengan terus melakukan serangan udara dan serangan di barisan hadapan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video