Skip to main content

Dunia

ASEAN perlu segerakan kerjasama keselamatan petroleum, golongan miskin kini makin terhimpit - PM Anwar

Myanmar's Permanent Secretary of the Ministry of Foreign Affairs U Hau Khan Sum, Malaysia's Prime Minister Anwar Ibrahim and his wife Wan Azizah Wan Ismail, Thailand's Prime Minister Anutin Charnvirakul and his wife Thananon Niramit, East Timor's Prime Minister Xanana Gusmao, Vietnam's Prime Minister Le Minh Hung, Philippine President Ferdinand Marcos Jr. and his wife Liza Araneta Marcos, Singapore's Prime Minister Lawrence Wong and his wife Loo Tze Lui, Brunei's Sultan Hassanal Bolkiah and his son Prince A
Anwar (tiga, kiri) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Filipina. - Gambar/ Bernama

CEBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) disegerakan bagi memperkukuh keselamatan tenaga serantau.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Filipina, Anwar berkata, konflik Asia Barat dan gangguan di Selat Hormuz memberi tekanan besar terhadap kestabilan ekonomi serta rantaian bekalan global.

“Malaysia menyokong penuh usaha mempercepat pelaksanaan APSA. Ia menyediakan lapisan perlindungan penting ketika pengeluaran minyak dan gas domestik di rantau ini semakin menurun,” katanya.

Menurut beliau, situasi itu turut meningkatkan risiko ketidaktentuan bekalan tenaga, keselamatan makanan dan kos sara hidup di rantau ASEAN.

“Ini bukan kejutan yang jauh atau gangguan sementara, ia beri kesan secara langsung kepada kestabilan ekonomi, keharmonian sosial dan kehidupan harian rakyat kita, dengan golongan miskin dan paling terdedah menerima kesan paling besar,” ujarnya.

Katanya, ASEAN perlu bertindak secara kolektif dan melakukan penyelarasan kerana tiada negara mampu menangani gangguan global yang berlaku hari ini secara bersendirian.

Dalam konteks itu, beliau menegaskan, APSA perlu dipercepat sebagai lapisan perlindungan penting ketika pengeluaran minyak dan gas domestik di rantau ini semakin menurun.

APSA merupakan rangka kerja kerjasama serantau ASEAN yang diwujudkan bagi memastikan kestabilan bekalan petroleum ketika berlaku krisis atau gangguan bekalan tenaga.

Perdana Menteri menegaskan, ASEAN perlu mempelbagaikan sumber bahan api fosil dan mengurangkan kebergantungan terhadap rantaian bekalan yang terdedah kepada risiko geopolitik.

Anwar turut mencadangkan ASEAN memanfaatkan kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) termasuk rangkaian kerjasama ASEAN-GCC-China bagi membina sistem tenaga yang berdaya tahan.

Pada masa sama, beliau berkata, Grid Tenaga ASEAN (APG) kekal penting dalam agenda peralihan tenaga serantau dan memerlukan pelaburan lebih besar bagi mempercepat hubungan tenaga rentas sempadan serta pembangunan rendah karbon.

Sidang Kemuncak kali ini berlangsung ketika rantau Asia Tenggara berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik Asia Barat, ketidaktentuan ekonomi global serta ancaman terhadap keselamatan tenaga dan makanan.

Must Watch Video