TEL AVIV: Benjamin Netanyahu mengumumkan Israel telah menolak terma gencatan senjata yang dicadangkan oleh pasukan pejuang Palestin, Hamas.

Sebaliknya, Perdana Menteri Israel itu mendakwa, Israel berkemungkinan akan memperoleh
"kemenangan total" di Gaza dalam beberapa bulan akan datang.

Kata Netanyahu, rundingan dengan kumpulan itu juga "tidak ke mana-mana" serta menyifatkan syarat yang diletakkan Hamas sebagai "pelik".


Dalam masa sama, perbincangan untuk mencapai beberapa perjanjian masih berterusan.

"Kami tidak komited kepada apa-apa (persetujuan). Kami tidak komited kepada mana-mana tuntutan khayalan Hamas, bilangan pengganas dengan darah di tangan mereka (untuk dibebaskan)

“Tiada komitmen - perlu ada rundingan, ia adalah satu proses dan pada masa ini, daripada apa yang saya lihat daripada Hamas, ia tidak berlaku.

"Jika Hamas akan bertahan di Gaza, ia hanyalah persoalan mengenai masa sehingga pembunuhan beramai-ramai seterusnya," tegas Netanyahu dalam sidang akhbar pada hari Rabu.

Netanyahu berkata demikian sebagai mengulas tindakan Hamas membentangkan beberapa siri tuntutan sebagai tindak balas kepada cadangan gencatan senjata yang disokong Israel.

Israel sudah dijangka akan menentang tawaran balas Hamas, namun, apa yang disuarakan Netanyahu jelas sekali merupakan penolakan yang tegas dan pegawai-pegawai Israel juga berpendapat, usaha Hamas untuk menamatkan perang mengikut syarat-syaratnya sebagai tidak boleh diterima sama sekali.

Seorang pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri memberitahu agensi berita Reuters bahawa kenyataan Netanyahu "merupakan satu bentuk keberanian politik" dan menunjukkan Perdana Menteri Israel itu berhasrat untuk meneruskan konflik di rantau itu.

Sumber rasmi Mesir pula memberitahu BBC, pusingan baharu rundingan yang dikendalikan oleh Mesir dan Qatar masih dijangka diteruskan pada Khamis di Kaherah.

Mesir juga telah menyeru semua pihak untuk menunjukkan fleksibiliti yang diperlukan dalam usaha mencapai persetujuan, kata sumber itu.

Penolakan Netanyahu terhadap rancangan yang digambarkan sebagai "khayalan" iaitu sangat berbeza dengan kenyataan Qatar pada Rabu yang memberi gambaran tindak balas Hamas sebagai "positif."

Hamas mengemukakan tawaran balasnya kepada cadangan gencatan senjata pada hari Selasa.

Draf dokumen Hamas yang dilihat oleh agensi berita Reuters menyenaraikan syarat ini:

Fasa pertama: Jeda 45 hari dalam pertempuran di mana semua tebusan wanita Israel, lelaki bawah 19 tahun, warga emas dan golongan yang sakit akan ditukar dengan wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Tentera Israel akan berundur dari kawasan berpenduduk di Gaza dan pembinaan semula hospital dan kem pelarian akan bermula.

Fasa dua: Baki tebusan lelaki Israel akan ditukar dengan tahanan Palestin dan tentera Israel meninggalkan Gaza sepenuhnya.

Fasa ketiga: Kedua-dua pihak akan bertukar-tukar baki tebusan dan mayat.

Perjanjian yang dicadangkan itu juga akan menyaksikan penghantaran makanan dan bantuan lain ke Gaza meningkat.

Menjelang penghujung jeda 135 hari dalam pertempuran, Hamas berkata, rundingan untuk menamatkan perang akan berakhir.

Kira-kira 1,300 orang terbunuh semasa serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

Lebih 27,700 rakyat Palestin telah terbunuh dan sekurang-kurangnya 65,000 cedera akibat perang yang dilancarkan Israel sebagai tindak balas, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Israel perluas konflik ke Rafah

Sementara itu, Netanyahu juga mengesahkan pada Rabu bahawa tentera Israel telah diarahkan untuk bersiap sedia untuk beroperasi di bandar Rafah di selatan Gaza - yang menyaksikan puluhan ribu rakyat Palestin telah melarikan diri dari pertempuran.

Memperluas konflik ke Rafah akan "meningkatkan secara mendadak apa yang sudah menjadi mimpi ngeri kemanusiaan" di bandar itu, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran.

"Kami takut dengan pencerobohan Rafah.  Kami tidur dalam ketakutan dan duduk dengan ketakutan. Tiada makanan, dan cuaca sejuk," kata seorang pelarian di Rafah Crossing, berhampiran sempadan Mesir, kepada BBC.

Reaksi terbaharu pemimpin Israel itu juga dianggap tamparan kepada desakan berterusan oleh Amerika Syarikat untuk mencapai perjanjian yang disifatkan oleh diplomat tertingginya, Antony Blinken sebagai "jalan terbaik ke hadapan" - walaupun beliau memberi amaran "masih banyak kerja yang perlu dilakukan. - Agensi