ISTANBUL: Gencatan senjata selama tiga hari antara Rusia dan Ukraine yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berakhir pada 2100GMT Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Trump pada Jumaat berkata, Moscow dan Kyiv bersetuju melaksanakan gencatan senjata dari 9 hingga 11 Mei, selain pertukaran tahanan 1,000 untuk 1,000, yang disifatkannya sebagai langkah berpotensi ke arah menamatkan perang itu.
“Diharapkan ini menjadi permulaan kepada pengakhiran perang yang sangat panjang, berdarah dan sengit.
“Rundingan untuk menamatkan konflik besar ini, yang terbesar sejak Perang Dunia Kedua, masih diteruskan dan kita semakin hampir kepada penyelesaian setiap hari,” kata Trump.
Kenyataan itu dibuat selepas Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner mengadakan pertemuan dengan ketua perunding Ukraine, Rustem Umerov di Miami bagi membincangkan usaha diplomatik yang dipertingkat serta menyelaraskan langkah lanjut ke arah keamanan.
Pada Sabtu, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau bersedia bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di negara ketiga, namun hanya untuk memuktamadkan perjanjian damai bagi menamatkan perang yang berlarutan lebih empat tahun itu.
Zelenskyy kemudian berkata, Kyiv telah membincangkan dengan Amerika Syarikat kemungkinan format rundingan dengan Putin “di peringkat kepimpinan bagi menamatkan perang Rusia” ketika lawatan Umerov ke Miami.
Sebelum cadangan Trump itu, Moscow pada Isnin mengumumkan gencatan senjata unilateral bagi tempoh 8 hingga 9 Mei sempena ulang tahun kemenangan Soviet dalam Perang Dunia Kedua serta memberi amaran kepada Ukraine mengenai tindak balas peluru berpandu “besar-besaran” sekiranya sambutan Hari Kemenangan diganggu.
Kyiv kemudian memaklumkan bahawa ia akan mematuhi gencatan senjata bermula tengah malam 6 Mei.
Kedua-dua pihak selepas itu saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU