NAIROBI: Peranan wanita dalam pembentukan kehidupan perbandaran yang lestari tidak boleh lagi dipinggirkan.

Malah tegas Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif peranan wanita pada hari ini perlu diangkat dengan lebih tinggi.

Ini dengan mengambil kira bahawa dunia hanya mempunyai masa kurang daripada tujuh tahun untuk mencapai semua inti pati Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

“Jangan berlengah lagi, suara, pengetahuan, kepakaran dan kreativiti wanita sangat-sangat diperlukan pada ketika ini!” tegas Maimunah semasa berucap pada Sesi Dialog Wanita Pertama ketika Perhimpunan UN-Habitat sesi kedua (UNHA2) di Nairobi pada Selasa.

Sesi dialog ini yang mengangkat tema “Wanita Membentuk Bandar dan Komuniti’ ini turut dihadiri Wanita Pertama Kenya, Rachel Ruto selain turut menyaksikan ucapan video daripada Wanita Pertama Turki, Emine Erdogan.

Dalam pada itu, Maimunah turut mengingatkan cabaran realiti semasa yang cukup membimbangkan.

‘Dianggarkan lebih 435 juta wanita di pelbagai peringkat berada dalam kemiskinan tegar pada 2021, justeru tindakan segera perlu dilakukan’

Selain itu menurut Maimunah, struktur sosial di pelbagai peringkat perlu diubah bagi mengatasi kesenjangan gender dalam aspek pembangunan bandar.

"Sebagai contoh, wanita sering kali didiskriminasi dalam isu perumahan, pemilikan harta dan tanah.

"Bahkan kegagalan dalam pembuatan keputusan hanya akan meningkatkan risiko wanita terjerumus dalam kemiskinan dan menjadi mangsa penderaaan dan keganasan seksual," jelasnya.

Maimunah turut berkongsi inisiatif ‘Women Led Cities’ yang bertujuan meningkatkan peratusan wanita dalam kepimpinan melalui kerjasama dan pelaburan yang memberikan impak besar.

UNHA2 yang bermula pada 5 Jun menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari seluruh dunia untuk berbincang dan menjadi solusi kepada permasalahan bandar.

Satu resolusi bersama akan dikeluarkan pada hujung perhimpunan.

UNHA ke 2: Kesaksamaan wanita dalam pembentukan bandar