DUNIA
Global Sumud Flotilla berlayar dari Tunisia untuk pecahkan sekatan Gaza

Penyokong menyaksikan sebuah kapal dari konvoi Global Sumud Flotilla berlepas menuju ke Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan di tengah sekatan Israel ke atas wilayah Palestin. - Foto AP
TUNIS: Konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) secara rasmi memulakan pelayaran dari pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia, dalam usaha berani untuk memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
Ringkasan AI
- Global Sumud Flotilla (GSF) berlayar dari Tunisia ke Gaza, membawa lebih 50 kapal kecil dengan bantuan kemanusiaan, disertai aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia.
- Misi digerakkan secara bebas dan aman, meskipun dua kapal GSF dilaporkan diserang dron di perairan Tunisia; penganjur menuduh Israel, namun siasatan masih dijalankan.
- GSF dijangka bergabung dengan kapal lain di Mediterranean, dalam usaha memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza yang dikritik sebagai pencabulan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
Pelayaran ini berlaku selepas dua insiden serangan dron dilaporkan ke atas kapal GSF di perairan Tunisia awal minggu lepas.
Salah satu kapal, Alma yang berdaftar di Britain, mengalami kerosakan dek atas akibat kebakaran, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Penganjur menuduh Israel sebagai dalang serangan, namun pihak berkuasa Tunisia menafikan pengesanan sebarang dron dan berjanji menjalankan siasatan.
“Kami tidak akan gentar. Misi ini akan diteruskan demi membuka laluan kemanusiaan ke Gaza,” kata Saif Abukeshek, ahli jawatankuasa pemandu GSF.
Ratusan orang berkumpul di pelabuhan untuk memberi sokongan, sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan menentang Israel dan Amerika Syarikat.
GSF dijangka bertemu dengan kapal lain dari Itali dan Greece di titik pertemuan di Laut Mediterranean sebelum menuju ke perairan Gaza.
Antara tokoh terkenal yang menyertai misi ini ialah aktivis iklim Greta Thunberg dan pelakon Perancis Adèle Haenel.
Israel telah mengenakan sekatan laut ke atas Gaza sejak 2007, dengan alasan untuk menghalang penyeludupan senjata oleh Hamas.
Namun, kumpulan hak asasi dan pemerhati antarabangsa menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan punca krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami