Golongan muda di Portugal kurangkan penggunaan media sosial

Pakar memperhatikan bahawa penurunan dalam kalangan orang muda mencerminkan usaha dan kepekaan untuk mewujudkan tabiat digital lebih sihat. - Gambar hiasan/ETX
LISBON: Golongan muda di Portugal kini didapati mengurangkan penggunaan media sosial dengan ketara, mencerminkan peralihan ke arah amalan digital dalam keddan yang lebih sedar, berdasarkan data dan penyelidik baharu, lapor Xinhua.
Angka daripada firma penyelidikan pasaran Portugal, Marktest menunjukkan bahawa kadar penggunaan media sosial dalam kalangan golongan muda telah menurun 22 peratus dalam tempoh dua tahun lepas. Populasi umum juga mengurangkan penggunaannya, dengan purata masa harian di media sosial menurun 13 peratus sepanjang tahun lepas.
Data yang dikeluarkan pada Jumaat oleh Institut Perangkaan Nasional Portugal (INE) menunjukkan 79 peratus penduduknya kini menggunakan media sosial, kadar terendah sejak 2017.
Penyelidik yang dipetik oleh akhbar Portugal, Expresso berkata aliran ini selari dengan perkembangan yang diperhatikan di negara lain, menunjuk kepada tanda-tanda tepu apabila pengguna menilai semula peranan media sosial dalam kehidupan seharian mereka. Individu semakin mengamalkan amalan "detoks digital", termasuk mengehadkan masa skrin atau memutuskan sambungan sementara daripada platform dalam talian.
Pakar memperhatikan bahawa penurunan dalam kalangan orang muda mencerminkan usaha dan kepekaan untuk mewujudkan tabiat digital yang lebih sihat.
Patricia Dias, Penolong Profesor di Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Katolik Portugal (UCP) berkata, pengurangan penggunaan media sosial selalunya keputusan yang disengajakan dan berterusan dan bukannya reaksi jangka pendek.
Berdasarkan penyelidikannya tentang pemutusan digital dalam kalangan remaja Portugal, Dias berkata ramai remaja memilih untuk mengurangkan penggunaan media sosial kerana mereka merasakan faedah media sosial tidak lagi mengatasi masa dan tekanan psikologi yang terlibat.
Beliau menjelaskan bahawa pengguna muda kerap melaporkan mengalami keresahan, tingkah laku pemeriksaan kompulsif dan tekanan sosial, terutamanya kebimbangan ketinggalan. Faktor-faktor ini mendorong mereka menetapkan had terhadap aktiviti dalam talian, mengurangkan penggunaan atau memutuskan sambungan buat sementara waktu.
Dias menekankan bahawa tingkah laku sedemikian mewakili proses kawalan kendiri. "Apa yang kita perhatikan adalah peningkatan kesedaran dalam kalangan orang muda tentang keperluan untuk melindungi tumpuan dan kesejahteraan mereka, serta membentuk corak penglibatan dalam talian yang lebih seimbang dan mampan," katanya.
Walaupun terdapat penurunan, media sosial terus memainkan peranan penting dalam masyarakat Portugal. Penganalisis memperhatikan bahawa aliran semasa tidak menandakan kemunculan platform sosial, tetapi sebaliknya peralihan ke arah penggunaan yang lebih selektif dan disengajakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


