Skip to main content

Malaysia

Kes maut pemandu mabuk dorong pindaan undang-undang, teknologi dipertimbang

61595843431_DrunkDriving.jpg
Sebanyak 31 kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah direkodkan tahun lepas. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua tahun lepas, sekali gus mencetuskan cadangan pindaan undang-undang dan penggunaan teknologi bagi mengekang trend berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata sebanyak 31 kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah direkodkan tahun lepas, meningkat berbanding 27 kes pada 2024.

Advertisement

“Walaupun peningkatan ini tidak terlalu ketara, setiap kes membawa implikasi kehilangan nyawa yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana berpunca daripada tingkah laku yang boleh dielakkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata cabaran utama dalam menangani kes berkenaan bukan hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan di lapangan, sebaliknya, melibatkan pembentukan sikap serta kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

Sehubungan dengan itu, katanya, sekatan jalan raya serta ujian saringan secara rawak akan terus dipergiatkan sebagai langkah pencegahan.

Langkah itu juga, katanya, mampu memberikan kesan pencegahan psikologi kepada pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, Muhammed Hasbullah berkata JSPT tidak berdepan dengan kekangan signifikan dari segi peruntukan undang-undang atau prosedur siasatan dalam mengendalikan kes berkenaan.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan setiap kes yang dirujuk untuk pendakwaan diberi perhatian sewajarnya.

JSPT, katanya, akan terus mempertingkatkan usaha advokasi keselamatan jalan raya melalui kerjasama bersama media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof Madya Dr Siti Zaharah Ishak berkata Akta Pengangkutan Jalan 1987 wajar dipinda bagi membolehkan hukuman tambahan dikenakan terhadap pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

“MIROS percaya hukuman sedia ada adalah berkesan, namun bagi mengekang trend kemalangan daripada terus meningkat, akta itu boleh dipinda untuk mengenakan hukuman tambahan selain penjara, denda dan hilang kelayakan lesen,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menyokong cadangan supaya pesalah diwajibkan membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa.

Selain itu, Siti Zaharah berkata penggunaan teknologi kenderaan seperti Ignition Interlock Devices (IID) dan sistem pengesanan pasif juga wajar dipertimbangkan, termasuk terhadap pesalah kali pertama dan berulang.

Beliau berkata teknologi itu terbukti berkesan mengurangkan kemalangan akibat pemandu mabuk dengan menghalang kenderaan dihidupkan jika tahap alkohol melebihi had, selain membantu mengubah tingkah laku pemandu dalam jangka panjang.

Pada Isnin lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya sedang merangka pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], termasuk mewajibkan pampasan kepada keluarga mangsa.

Pada 29 Mac lepas, seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang, manakala dua hari kemudian satu lagi insiden di Jalan Pintasan Kajang–Semenyih menyebabkan enam individu termasuk seorang kanak-kanak cedera.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video