DUNIA
Greta Thunberg antara aktivis flotila Gaza diusir Israel, tiba di Greece

Greta Thunberg (tengah) melambai ke arah penyokongnya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens Eleftherios Venizelos, Athens, Greece, pada Isnin. - Gambar Reuters
ATHENS: Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, tiba di Greece pada Isnin bersama ratusan aktivis lain yang diusir dari Israel selepas menyertai misi menghantar bantuan ke Gaza.
Thunberg, 22, antara ratusan peserta flotila Global Sumud yang cuba menembusi sekatan laut Israel ke atas wilayah Gaza yang dilanda perang.
Beliau dan 160 aktivis lain mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens, disambut kumpulan penyokong yang membawa sepanduk dan melaungkan slogan “Kebebasan untuk Palestin” serta “Hidup flotila!”.
Thunberg menyifatkan misi tersebut sebagai “usaha terbesar pernah dilakukan untuk memecahkan kepungan haram dan tidak berperikemanusiaan Israel melalui laut.”“Fakta bahawa misi ini perlu wujud adalah satu penghinaan,” katanya sambil menggesa dunia bertindak bagi menghalang apa yang disifatkannya sebagai “pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin”.
“Kita tidak melihat sebarang tindakan minimum pun daripada kerajaan-kerajaan kita,” tambahnya.
Dalam kejadian berkaitan, Ahli Parlimen Eropah berketurunan Palestin-Perancis, Rima Hassan mendakwa, dipukul polis Israel selepas flotila itu dipintas tentera laut negara berkenaan.
“Saya dipukul oleh dua anggota polis ketika dimasukkan ke dalam van,” katanya kepada AFP, menambah beliau dan tahanan lain ditempatkan dalam sel berasingan yang menempatkan sehingga 15 orang di penjara keselamatan tinggi Israel.
Kementerian Luar Greece memaklumkan, pesawat khas yang membawa aktivis terbabit mendarat di Athens dengan 27 warga Greece dan 134 lagi warga 15 negara Eropah lain.
Sementara itu, Kementerian Luar Israel menjelaskan, seramai 171 aktivis diusir ke Greece dan Slovakia, manakala 138 lagi masih ditahan di Israel.
Menurut kerajaan Slovakia, seorang warganya telah pulang bersama sembilan individu lain dari Belanda, Kanada dan Amerika Syarikat.
Flotila berkenaan berlepas dari Barcelona, Sepanyol pada awal September sebelum dipintas tentera laut Israel berhampiran perairan Mesir minggu lalu.
Israel mendakwa, flotila itu mempunyai kaitan dengan Hamas dan melanggar zon larangan, selain menyatakan hanya sedikit bantuan kemanusiaan ditemui di atas kapal.
Polis Israel turut mengesahkan lebih 470 individu di atas flotila ditahan dalam operasi tersebut. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami