ASHKELON: Sebuah mahkamah di Israel pada Ahad meluluskan pelanjutan tempoh tahanan reman selama dua hari ke atas dua aktivis kemanusiaan asing yang ditahan daripada flotila bantuan ke Gaza, pada Khamis lalu.
Keputusan itu melibatkan aktivis warga Sepanyol, Saif Abu Keshek dan Thiago Avila (warga Brazil), yang sebelum ini dibawa ke Israel untuk disoal siasat selepas flotila mereka dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Advertisement
Pihak berkuasa Israel pada asalnya memohon pelanjutan tahanan selama empat hari, namun mahkamah hanya membenarkan dua hari.
Menurut kumpulan hak asasi Adalah, kedua-dua aktivis berkenaan mendakwa telah dikasari secara ekstrem ketika operasi pintasan dilakukan oleh komando Israel.
Avila mendakwa beliau telah diheret dan dipukul sehingga tidak sedarkan diri sebanyak dua kali, manakala Abu Keshek pula dilaporkan dipaksa berbaring dengan mata tertutup dan tangan terikat sepanjang perjalanan ke kem tahanan.
Sementara itu, Kementerian Luar Israel mendakwa kedua-dua individu terbabit mempunyai kaitan dengan pertubuhan Popular Conference for Palestinians Abroad (PCPA), yang didakwa bertindak bagi pihak Hamas.
Bagaimanapun, kerajaan Sepanyol menyifatkan penahanan rakyatnya sebagai satu tindakan “penculikan” yang menyalahi undang-undang antarabangsa, selain menuntut pembebasan segera.
Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 173 aktivis lain yang turut ditahan dalam operasi sama dilapor telah dibebaskan di Greece pada Jumaat lalu.
Global Sumud Flotilla (GSF), yang terdiri daripada lebih 50 kapal, belayar dari pelabuhan di Perancis, Sepanyol dan Itali dengan misi untuk memecahkan sekatan maritim ke atas Gaza serta menghantar bekalan bantuan kemanusiaan.