Skip to main content

Dunia

GSF 2.0: Masih tiada petunjuk peserta diculik tiba di Pelabuhan Ashdod - SNCC

SEPANG, 15 Mei -- Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di SNCC hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Sani Araby berkata, delegasi peguam Pusat Kajian Hak Asasi Manusia dan Advokasi (Centhra) kini bersiap sedia di lapangan.

SEPANG: Belum ada petunjuk jelas sama ada peserta Global Sumud Flotilla 2.0 termasuk dari Malaysia, yang ditahan oleh tentera rejim Zionis Israel semalam, akan tiba di di Pelabuhan Ashdod, atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby berkata, delegasi peguam Pusat Kajian Hak Asasi Manusia dan Advokasi (Centhra) kini bersiap sedia di lapangan.

Menurutnya, Centhra juga sedang berhubung dengan pasukan peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) di wilayah rejim itu bagi mendapatkan perkembangan terkini peserta.

“Maklumat daripada Centhra sehingga kini melalui pasukan Adalah yang berada di lapangan, khususnya di Pelabuhan Ashdod masih belum dapat mengesahkan kehadiran kesemua peserta ini,” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.

Sani turut menjangkakan tentera rejim Zionis akan melengah-lengahkan ketibaan peserta yang ditahan ke darat sebagai helah untuk memperlahankan proses pembebasan mereka.

“Apabila mereka tiba di kawasan darat, Israel harus akur dengan undang-undang yang mereka gubal sendiri iaitu tahanan harus dilepaskan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau turut menegaskan agar dunia menekan rejim Zionis untuk membebaskan peserta GSF 2.0 sekiranya tiada maklumat mengenai pendaratan mereka di beberapa lokasi dalam tempoh 48 jam.

“Jika tiada maklumat pendaratan dalam tempoh 48 jam, saya kira ini adalah satu insiden yang dunia perlu ambil peduli dan masuk campur,” katanya.

Menurut Sani, sayap rundingan Sumud Nusantara bersama peguam Centhra turut bersiap siaga di tiga lokasi termasuk Greece, Jordan dan Mesir bagi menerima pelepasan peserta.

Semalam, GSF memaklumkan kesemua 50 bot misi itu dipintas rejim Zionis Israel di timur Mediterranean pada 18 dan 19 Mei, menyebabkan 428 aktivis dari lebih 40 negara ditahan termasuk 29 delegasi Malaysia yang menyertai 18 bot berkenaan.

Antara peserta misi Malaysia yang dilaporkan ditahan termasuk Norazman Ishak(Abodes), Zaid dan Farizzal (Gotico), Razman Mat Ali (Azur), Dr Nor Liyana Farhan (Amazon), Al Ahmad Shah (Irisdescene), Chin Shiau Weai dan Muhammad Hareez Adzrami (Alcyone), serta Zainal Rashid Ahmad (Amanda).

Turut berada dalam senarai ialah Ahmad Musa Al-Nuwayri (Josef), Patmanathan Sivasamy, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar  dan Dr Syakirin Mohamed Senin (Ferluto), Dr Abdul Rahim Abdul Razak dan Eddy Noor Mad Amin (Marilyn), Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar (Don Juan), Noor Thanisah Mohammad Tajudin (Zefiro), Abdul Samad dan Dr Naufa Azhari (Bianca Ita).

Selain itu, Muhammad Muhsin Zaini (Isobella), Mohammad Syazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus), Osman, Hazwan Halim dan Mohd Shamsir Mohd Isa (Themis), Mohd Hanafi dan Mohd Redzal (Bolarize), serta Dr Jihan Alya dan Norhelmi Ab Ghani (Ozgurluk) turut dilaporkan ditahan.
 

Must Watch Video

Advertisement