Skip to main content

Malaysia

Pengamal media dikasari: Fahmi kesal, arah Sekretariat Konvensyen PH siasat

KUALA LUMPUR, 20 Mei -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI bercakap pada sidang media mingguan yang diadakan di Angkasapuri hari ini. —fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI bercakap pada sidang media mingguan yang diadakan di Angkasapuri hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meminta pasukan Sekretariat Konvensyen Pakatan Harapan (PH) meneliti insiden kekecohan serta gangguan terhadap petugas media yang berlaku ketika konvensyen itu di Johor Bahru, Ahad lalu. 

Beliau berkata, penelitian itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan. 

Pada masa sama, Fahmi yang juga pengarah konvensyen berkenaan turut menyatakan kekesalan terhadap insiden terbabit dan menegaskan perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku. 

"Selaku pengarah bagi konvensyen tersebut, saya amat kesal dengan kejadian itu apatah lagi bila saya amat mengenali pasukan media Johor. 

"Bagi saya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Saya telah meminta supaya pihak sekretariat meneliti aduan yang dibuat dan cuba mengenal pasti apakah isu serta siapa yang mungkin terlibat untuk kita ambil tindakan selepas ini,” katanya pada sidang media mingguan pasca Kabinet, di sini pada Rabu. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan gangguan terhadap petugas media ketika menjalankan liputan konvensyen berkenaan. 

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, dalam apa juga acara, wartawan perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugas mereka. 

Bagaimanapun, beliau memahami terdapat situasi tertentu yang boleh menyebabkan berlaku insiden tidak diingini, terutama membabitkan ruang fizikal yang terhad, jumlah kehadiran yang ramai serta pergerakan individu penting yang ingin ditemu bual. 

"Kadang kala berlaku insiden yang tidak diingini terutama untuk para wartawan," katanya. 

Kekecohan itu dipercayai berlaku ketika petugas media dari Johor dan Kuala Lumpur sedang menjalankan tugasan liputan serta mendapatkan reaksi daripada pimpinan parti yang menghadiri konvensyen berkenaan. 

Difahamkan, insiden itu melibatkan tindakan melampau sekumpulan individu dipercayai daripada skuad keselamatan parti yang ditugaskan mengawal perjalanan program serta pergerakan orang kenamaan.

Must Watch Video

Advertisement