BERITA projek pembangunan Gua Hira’ dan Gua Thur di Mekah memberi harapan kemungkinan penggantungan visa haji oleh Arab Saudi bakal berakhir.

Ini berikutan projek itu dijadual memakan masa satu bulan – bermakna tarikh siap beriringan dengan bermulanya musim haji tahun 1441 Hijrah.

Penggantungan visa umrah (dan haji) bermula sejak hujung Februari apabila Arab Saudi mula dilanda pandemik COVID-19.

Keputusan pengeluaran visa haji bakal diumumkan, bergantung kepada keadaan semasa. Arab Saudi kini mencatat 9,362 kes positif COVID-19 dan 97 kematian.

Pembatalan umrah akibat penularan COVID-19 memberi peluang kepada pihak berkuasa Arab Saudi memulakan projek pembangunan semula Gua Hira dan Gua Thur di kota Mekah.

Buat pertama kali, penutupan kota Mekah kepada jemaah umrah berjaya mengosongkan kota suci itu serta kedua-dua gua yang menjadi tarikan pengunjung tempatan dan luar negara sepanjang tahun.

Arahan untuk memulakan kerja-kerja pembangunan semula dikeluarkan oleh Putera Khaled Al-Faisal, Emir Wilayah Mekah pada Sabtu.

Gua Hira’ di Jabal Nur (Gunung Nur) terletak lebih dari 3km dari Masjidil Haram di Mekah. Berukuran empat meter panjang dan satu setengah meter lebar, gua itu tidak dibangunkan untuk tujuan ibadat mahupun pelancongan.

Namum, ramai pengunjung, terutama dalam kalangan penganut Syiah dari Asia Selatan menjadikan Gua Hira’ dan Gua Thur sebagai tempat 'mesti lawat’.

Sekian lama keadaan dibiar tidak terurus, dan tidak kurang juga ada pengunjung yang menganggap kedua-dua gua itu sebagai keramat.

Pelawat ke Mekah selalu mengambil peluang memanjat dan berkunjung ke gua yang menjadi lokasi Rasullullah SAW mula-mula menerima wahyu pada tahun 603 Masihi.

Jabal Thur pula terletak kira kira 12 km ke selatan Mekah. Gua Thur menyimpan sejarah sebagai tempat Rasullullah SAW bersama sahabatnya Saidina Abu Bakar diselamatakan dari ancaman kaum Quraisy dan bermulanya hijrah ke Madinah.

Kedua-dua projek pembangunan itu merupakan anjuran pentadbir Wilayah Mekah, pejabat Datuk Bandar Mekah, Suruhanjaya Di Raja Mekah dan Tempat Suci dengan Kerjasama polis Mekah.

Tugas utama adalah meroboh struktur dan memadam lakaran, tulisan dan tanda tinggalan pengunjung yang sudah sekian lama menimbulkan suasana tidak terurus.

Kerja-kerja meroboh, membersih dan membaik pulih akan dijalankan dalam beberapa fasa sepanjang sebulan projek berjalan.

Segala teduhan yang dibina dari konkrit dan kayu tanpa kelulusan serta bangunan berbumbung zink bakal diroboh.

Ini bermakna, jika pandemik COVID-19 reda dalam jangka masa kerja-kerja berjaya disempurnakan sepanjang bulan Ramadan, Mekah bakal mampu menerima kunjungan bermula 1 Syawal yang seterusnya menandakan bermula musim haji.

Umat Islam pasti mendoakan usaha membendung pandemik satu dunia berjaya – apatah lagi pihak Arab Saudi sendiri dengan harapan musim haji tahun ini akan diteruskan.