JAWA TIMUR: Gunung berapi Semeru di pulau Jawa telah meletus, dengan proses pemindahan penduduk sudah pun bermula sejak tengah hari tadi.

Tiada kecederaan dilaporkan tetapi hampir 2,000 penduduk telah dipindahkan dari kawasan sekitar gunung berapi itu.

Terdahulu, pihak berkuasa menaikkan status amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi, bermakna aktivitinya telah meningkat.

Peningkatan tahap ancaman daripada tiga kepada empat juga bermakna bahaya itu mengancam kediaman penduduk, kata jurucakap Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia (PVMBG) kepada media tempatan.

Organisasi itu berkata sebuah jambatan yang sedang dibina semula, mengalami kerosakan teruk, manakala sekurang-kurangnya enam kampung terjejas.

Jepun mengeluarkan amaran tsunami untuk pulau selatan selepas letusan tersebut, tetapi pakar meteorologi berkata tiada perubahan pasang surut dikesan.

Semeru, juga dikenali sebagai The Great Mountain, adalah gunung berapi tertinggi di Jawa pada ketinggian 3,676 meter dan salah satu yang paling aktif. Kali terakhir ia meletus ialah setahun lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang maut.