DUNIA
Guru, ibu pelajar ditahan cuba curi kertas peperiksaan di Korea Selatan

Kes ini merupakan antara siri skandal peperiksaan yang melanda Korea Selatan, sebuah negara yang terkenal dengan tekanan akademik tinggi dan sistem pendidikan yang sangat kompetitif. -Gambar hiasan/koreabridge
SEOUL: Seorang guru sekolah menengah dan ibu kepada seorang pelajar ditahan pihak berkuasa Korea Selatan selepas didakwa berpakat menceroboh sebuah sekolah di Andong untuk mencuri kertas peperiksaan.
Ringkasan AI
- Seorang guru dan ibu pelajar ditahan kerana cuba mencuri kertas peperiksaan di sebuah sekolah di Andong, Korea Selatan, dengan bantuan pengurus fasiliti sekolah.
- Guru tersebut masih mempunyai akses ke sekolah melalui sistem cap jari, dan didakwa menerima bayaran sekitar 20 juta won untuk mendapatkan kertas peperiksaan.
- Pelajar yang terlibat dibuang sekolah dan semua grednya dibatalkan, menjadikan kes ini sebahagian daripada siri skandal peperiksaan yang melanda Korea Selatan akibat tekanan akademik tinggi.
Guru berusia 31 tahun itu dilaporkan pernah mengajar di sekolah tersebut sehingga Februari 2024 dan kini bertugas sebagai tutor peribadi kepada anak wanita yang turut ditahan.
Siasatan awal mendapati guru terbabit masih mempunyai akses ke sekolah melalui sistem pengimbas cap jari yang belum dinyahaktif.
Polis turut menahan seorang pengurus fasiliti sekolah yang dipercayai bersubahat dengan kedua-dua suspek dalam usaha menceroboh bangunan sekolah secara haram.
Siasatan mendapati ibu pelajar terbabit telah membayar sejumlah wang kepada guru berkenaan bagi mendapatkan kertas peperiksaan, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah 20 juta won (sekitar RM70,000).
Pelajar yang terlibat, yang sebelum ini mencatat keputusan akademik tertinggi sejak 2023, telah dibuang sekolah dan semua grednya dibatalkan.
Kes ini merupakan antara siri skandal peperiksaan yang melanda Korea Selatan, sebuah negara yang terkenal dengan tekanan akademik tinggi dan sistem pendidikan yang sangat kompetitif.
Awal tahun ini, hampir 250 guru ditahan kerana menjual soalan ujian palsu kepada institusi swasta, dengan keuntungan purata mencecah AS$61,000 (RM285,000) setiap seorang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami