Guru siar karikatur Nabi Muhammad cetus protes di Leeds

Agensi
Mac 26, 2021 04:07 MYT
Guru Besar bertindak memohon maaf dan menyatakan guru tersebut telah digantung sementara penyiasatan lanjut dijalankan. - Foto Facebook / Oliver Tiplady
LEEDS: Karikatur Nabi Muhammad kembali digunakan sebagai proses pengajaran di sebuah sekolah di West Yorkshire, Britain sekali gus mencetuskan kemarahan penduduk Muslim tempatan serta bekas pelajarnya.
Tindakan itu telah menyebabkan berlaku tunjuk perasaan di hadapan Batley Grammar School yang menyebabkan jalan utama di hadapan sekolah itu ditutup.
Aktivis Islam Dr Abdul Shaikh meminta supaya guru terlibat dipecat ekoran tindakannya yang dilihat tidak menghormati agama dan pelajar Islam.
"Saya merasakan bahawa sekolah harus diizinkan untuk menyelesaikan penyiasatan mereka.
"Pada masa sama mereka perlu mencari jalan keluar yang adil dan memuaskan kepada murid Muslim, ibu bapa mereka dan masyarakat Islam secara keseluruhannya di Batley.
"Situasi ini tidak boleh dibiarkan terjadi lagi demi kemakmuran penduduk di daerah ini," katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Guru Besar, Gary Kible bertindak memohon maaf dan menyatakan guru tersebut telah digantung sementara penyiasatan lanjut dijalankan.
"Kami memohon maaf kerana menggunakan sumber yang sama sekali tidak sesuai dalam pengajaran baru-baru ini.
"Kami telah segera menghentikan pengajaran sebahagian kursus ini dan mengkaji bagaimana kami terus maju dengan sokongan semua komuniti yang diwakili di sekolah kami," kata Kible.
Imam Masjid Makkah di Leeds, Qari Asim dalam pada itu berkata perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana ia telah terjadi beberapa kali sebelum ini.
"Protes tidak akan menyelesaikan masalah, tetapi dialog yang membina, penyiasatan yang adil oleh sekolah dan perbincangan bersama ibu bapa sepatutnya dilakukan.
"Kami tidak mahu menyemarakkan sifat Islamophobia dan kebencian mahupun perpecahan," katanya.
#protes sekolah #karikatur Nabi Muhammad #Gary Kible #Britain #Umat Islam #pelajar islam #protes #Islamophobia #Batley Grammar School