DUNIA
Guterres keluarkan amaran, prinsip asas PBB terancam pada ulang tahun ke-80

Guterres, berucap pada sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sempena permulaan Minggu Peringkat Tinggi. - Foto AP
ISTANBUL: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin memberi amaran bahawa prinsip asas organisasi itu berdepan ancaman yang tidak pernah dialaminya sebelum ini ketika menyambut ulang tahun ke-80.
"Ketika ini, prinsip PBB diserang seperti tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Guterres dalam ucapannya di Perhimpunan Agung sempena ulang tahun berkenaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau merujuk kepada krisis berterusan di mana "orang awam menjadi sasaran, dan undang-undang antarabangsa dipijak di Gaza, Ukraine, Sudan dan lain-lain," sementara kemiskinan serta kebuluran terus meningkat.
Mengenai cabaran iklim, Guterres berkata, "Planet ini terbakar, dengan kebakaran, banjir dan suhu panas mencatat rekod akibat kekacauan iklim."Beliau turut mengingatkan kembali kejayaan PBB, termasuk pembasmian penyakit cacar, pemulihan lapisan ozon dan usaha mengelakkan perang dunia ketiga. Namun beliau memberi amaran bahawa dunia kini bergerak ke arah multipolar tanpa institusi multilateral yang kuat, mewujudkan risiko serupa dengan yang dihadapi Eropah semasa Perang Dunia Pertama.
"Untuk menangani cabaran ini, kita bukan sahaja perlu mempertahankan PBB, malah memperkukuhkannya," katanya.
Presiden Perhimpunan Agung PBB Annalena Baerbock pula mengenang detik penandatanganan Piagam PBB pada 26 Jun 1945, yang disifatkannya sebagai "ikrar bukan untuk membawa kita ke syurga, tetapi untuk memastikan kita tidak lagi diseret ke neraka oleh kebencian dan cita-cita tanpa batas."
Beliau turut mengakui krisis semasa termasuk "kanak-kanak tanpa ibu bapa yang mencari makanan di runtuhan Gaza, perang berterusan di Ukraine, keganasan seksual di Sudan" serta konflik global lain.
"Kita tidak boleh memilih jalan mudah dengan menyerah kalah," katanya, sambil menggesa keberanian untuk menghadapi masalah "dengan lebih baik bersama-sama."
Minggu peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB yang menghimpunkan ketua negara dan kerajaan bagi Debat Umum tahunan serta siri sidang kemuncak akan berlangsung sehingga 29 Sept ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami