Hadiah Keamanan Nobel 2025 diumum hari ini, apakah Trump ada harapan untuk menang?

Pemerhati anugerah Nobel berpendapat peluang Trump sangat tipis, memandangkan rekodnya yang dilihat bertentangan dengan nilai kerjasama global pasca Perang Dunia Kedua yang dijunjung oleh jawatankuasa Nobel.
OSLO: Pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2025 akan diumumkan pada Jumaat (10 Okt), dalam tahun yang dibayangi oleh kempen berbulan-bulan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang secara terbuka menyasarkan untuk memenangi anugerah paling berprestij di dunia itu.
Trump sebelum ini tidak pernah menyembunyikan hasratnya untuk menerima anugerah yang pernah dimenangi empat bekas Presiden AS iaitu Barack Obama (2009), Jimmy Carter (2002), Woodrow Wilson (1919) dan Theodore Roosevelt (1906).
Kecuali Carter, kesemua mereka menerima anugerah itu semasa masih memegang jawatan - termasuk Obama, yang dinamakan penerima hanya lapan bulan selepas beliau dilantik, sama seperti tempoh Trump kini di White House.
Namun, apabila Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway, Joergen Watne Frydnes berdiri di podium Institut Nobel Norway di Oslo pada pukul 11 pagi (5 petang waktu Malaysia), para pemerhati menjangkakan bahawa nama Trump hampir pasti tidak akan disebut sebagai pemenang.Perjanjian Gaza mungkin terlalu lewat untuk tahun ini
Trump pada Rabu mengumumkan kejayaan rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan antara Israel dan Hamas - fasa pertama inisiatifnya untuk menamatkan perang di Gaza.
Namun, menurut akhbar harian Norway VG, jawatankuasa Nobel telah membuat keputusan pada Isnin, iaitu sebelum pengumuman perjanjian itu dan walaupun mereka mengetahuinya lebih awal, tidak mungkin keputusan dibuat secara tergesa-gesa kerana proses pemilihan biasanya mengambil masa berbulan-bulan.
Pemerhati anugerah Nobel yang berpengalaman turut berpendapat peluang Trump sangat tipis, memandangkan rekodnya yang dilihat bertentangan dengan nilai kerjasama global pasca Perang Dunia Kedua yang dijunjung oleh jawatankuasa Nobel.
Sebaliknya, calon yang dijangka mendapat perhatian termasuk rangkaian sukarelawan Sudan Emergency Response Rooms, badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti UNHCR, UNICEF atau ICJ, atau pertubuhan kemanusiaan seperti Palang Merah dan Doktor Tanpa Sempadan (MSF).
Ada juga jangkaan bahawa wartawan dan pertubuhan media mungkin diberi pengiktirafan, selepas tahun paling tragis bagi pengamal media - khususnya di Gaza.
Antara calon berpotensi ialah Committee to Protect Journalists (CPJ) atau Reporters Without Borders (RSF).
Semangat wasiat Alfred Nobel
Jawatankuasa Nobel Norway berpandukan wasiat Alfred Nobel bertarikh 1895, yang menetapkan anugerah untuk keamanan, sastera, kimia, fizik dan perubatan.
Menurut Nina Graeger, Ketua Institut Penyelidikan Keamanan Oslo (PRIO), tindakan Trump menarik Amerika Syarikat keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Perjanjian Iklim Paris, dan perang perdagangan dengan sekutu adalah bertentangan dengan semangat wasiat Nobel.
“Jika kita meneliti wasiat Alfred Nobel, terdapat tiga teras utama iaitu usaha mencapai keamanan melalui rundingan, usaha melucut senjata dan memupuk kerjasama antarabangsa,” katanya.
Ahli sejarah anugerah Nobel, Asle Sveen turut menambah bahawa cubaan Trump untuk mendekati Presiden Rusia Vladimir Putin, serta kekagumannya terhadap pemimpin autoritarian, juga menjadi faktor yang menjejaskan peluangnya.
Bagaimana Jawatankuasa Nobel membuat keputusan
Menurut sumber dalaman, proses pemilihan pemenang Nobel berlangsung selama setahun penuh, dengan setiap calon dinilai dan dibahaskan secara mendalam oleh lima ahli jawatankuasa.
Pencalonan mesti diterima sebelum 31 Januari, dan selepas itu jawatankuasa bermesyuarat kira-kira sekali sebulan sehingga keputusan akhir dibuat pada Ogos atau September, kadangkala lebih lewat - seperti tahun ini.
Jawatankuasa sering menerima tekanan daripada individu atau penyokong mereka yang mendakwa layak menerima anugerah.
“Semua ahli politik mahu memenangi Hadiah Keamanan Nobel,” kata Frydnes kepada Reuters.
“Tetapi kami tetap berpegang kepada prinsip asas anugerah ini - iaitu idealisme dan cita-cita keamanan sejagat. Walaupun perhatian dunia tertumpu kepada kami, kerja kami tetap dijalankan seperti biasa.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami