KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.9 peratus pada April 2026 dengan mata indeks menokok kepada 136.9 daripada 134.3 pada bulan yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata inflasi pada April 2026 didorong oleh peningkatan dalam kumpulan pengangkutan (+4.1 peratus; Mac 2026: 1.6 peratus).
“Selain itu, inflasi Malaysia turut disumbangkan oleh kenaikan dalam kumpulan minuman beralkohol dan tembakau (2.8 peratus; Mac 2026: 2.7 peratus); maklumat dan komunikasi (2.0 peratus; Mac 2026: 1.4 peratus); makanan dan minuman (1.2 peratus; Mac 2026: 1.1 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.4 peratus; Mac 2026: 0.1 peratus).
Beliau berkata kira-kira 63.5 peratus barangan (364 daripada 573) merekodkan kenaikan harga, yang mana 356 barangan mencatatkan kenaikan kurang atau bersamaan 10 peratus, manakala hanya lapan barangan merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada April 2026.
"Harga bagi baki sebanyak 165 barangan (28.8 peratus) menunjukkan penurunan, manakala 44 barangan lagi kekal tidak berubah," kata beliau.
Beliau berkata kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 1.1 peratus pada April 2026 (Mac 2026: 1.2 peratus).
“Ini didorong oleh subkumpulan penyelenggaraan, pembaikan dan keselamatan kediaman, yang menyederhana kepada 2.3 peratus (Mac 2026: 3.3 peratus),” katanya.
Beliau berkata purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada April 2026 meningkat kepada RM5.06 seliter (Mac 2026: RM4.03 seliter).
Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia melonjak kepada RM5.92 seliter (Mac 2026: RM4.12 seliter), manakala purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
“Sementara itu, purata harga pasaran bagi RON95 tanpa plumbum meningkat kepada RM4.00 seliter (Mac 2026: RM3.16 seliter),” katanya.
Mohd Uzir juga berkata bagi perbandingan kadar inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia pada April 2026 (1.9 peratus) adalah lebih rendah daripada inflasi di Filipina (7.2 peratus), Vietnam (5.5 peratus), Thailand (2.9 peratus), Republik Korea (2.6 peratus) dan Indonesia (2.4 peratus).
-- BERNAMA