DUNIA
Hakim Albania maut ditembak tertuduh ketika prosiding mahkamah

Insiden berlaku di Mahkamah Rayuan Tirana apabila tertuduh melepaskan beberapa das tembakan ke arah hakim Astrit Kalaja yang sedang mempengerusikan prosiding. -Gambar hiasan
TIRANA: Seorang hakim Mahkamah Rayuan Albania maut selepas ditembak seorang lelaki yang sedang dibicarakan dalam kes pertikaian harta di ibu negara itu semalam.
Ringkasan AI
- Seorang hakim Mahkamah Rayuan Albania, Astrit Kalaja, maut ditembak oleh tertuduh dalam kes pertikaian harta di Tirana.
- Suspek bertindak agresif selepas menyedari kemungkinan kalah dalam kes dan telah ditahan di lokasi kejadian.
- Pemimpin Albania mengecam insiden itu sebagai ancaman terhadap sistem keadilan dan menyeru hukuman lebih berat terhadap jenayah bersenjata.
Dua individu lain yang turut berada dalam kamar mahkamah — seorang bapa dan anak — dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut dan kini berada dalam keadaan stabil di hospital.
“Suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar,” kata jurucakap polis dalam satu kenyataan.
Media tempatan melaporkan bahawa suspek bertindak agresif selepas menyedari kemungkinan besar akan kalah dalam kes tuntutan harta yang sedang dibicarakan.
Perdana Menteri Albania, Edi Rama, menyifatkan insiden itu sebagai peristiwa tragis dan menyeru agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap jenayah melibatkan senjata api.
“Serangan ini bukan sahaja meragut nyawa seorang hakim, malah menggugat integriti sistem keadilan negara. Tindakan undang-undang paling tegas perlu dikenakan terhadap penyerang,” katanya.
Presiden Albania, Bajram Begaj, turut mengecam insiden berkenaan sebagai “serangan dahsyat terhadap keseluruhan sistem keadilan.”
Mengikut undang-undang Albania, pemilikan senjata api secara haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Data daripada South Eastern and Eastern Europe Clearinghouse for the Control of Small Arms and Light Weapons (SEESAC) menunjukkan sebanyak 213 insiden melibatkan senjata api direkodkan di negara itu antara Januari hingga Jun 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami