INTERNATIONAL
Hakim Persekutuan AS arah pentadbiran Trump pulihkan Voice of America

Hakim memutuskan bahawa usaha pentadbiran Trump untuk membubarkan perkhidmatan berita yang dibiayai kerajaan adalah berkemungkinan menyalahi undang-undang. - Gambar/ AP
HOUSTON (Amerika Syarikat): Seorang hakim persekutuan pada Selasa mengarahkan pentadbiran Trump memulihkan semula Voice of America (VOA) dan perkhidmatan berita antarabangsa yang bersekutu dengannya, lapor Anadolu Ajansi.
Hakim Royce Lamberth dari Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Columbia memutuskan bahawa usaha pentadbiran itu untuk membubarkan perkhidmatan berita yang dibiayai kerajaan adalah berkemungkinan menyalahi undang-undang, dan memerintahkan agar ia dikeluarkan secara kekal daripada senarai pengurangan tenaga kerja Persekutuan di bawah rancangan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE).
Di bawah keputusan itu, syarikat induk VOA iaitu Agensi Media Global Amerika Syarikat (USAGM), mesti memulihkan semula VOA dan rangkaian berkaitannya, Radio Free Asia dan Middle Eastern Broadcast Network.
Lamberth turut melarang USAGM daripada menghalang perkhidmatan berita itu berfungsi sebagai sumber berita yang "konsisten boleh dipercayai dan berwibawa, tepat, objektif dan menyeluruh" seperti yang ditetapkan dalam undang-undang persekutuan.Selain itu, hakim turut memerintahkan USAGM supaya mengambil semula kakitangan yang diberi cuti semasa proses penutupan awal oleh pentadbiran Trump dan mengarahkan agensi itu supaya tidak mengurangkan tenaga kerja sementara kes itu dibicarakan di mahkamah.
"Defendan tidak mempunyai kaedah atau pendekatan yang dapat dikenal pasti oleh mahkamah ini dalam usaha menutup USAGM," kata Lamberth. "Mereka bertindak secara serta-merta dan drastik untuk mengecilkan USAGM tanpa mempertimbangkan fungsi-fungsi yang diwajibkan secara statutori atau perlembagaan, seperti yang dinyatakan dalam bahasa mudah perintah eksekutif, dan tanpa mengambil kira kesan buruk terhadap kakitangan, kontraktor, wartawan serta pengguna media di seluruh dunia."
"Sukar untuk membayangkan tindakan yang lebih jelas bersifat sewenang-wenangnya berbanding tindakan defendan dalam kes ini," tambah Lamberth.
Lamberth berkata perintahnya tidak terpakai kepada Radio Free Europe/Radio Liberty atau Open Technology Fund, kerana kedua-dua perkhidmatan berita itu sedang terlibat dalam prosiding mahkamah yang berasingan.
Dalam pengumuman mengenai pembubaran perkhidmatan berita tersebut, Kari Lake, yang dilantik Trump untuk mengetuai rangkaian USAGM, berkata "pembaziran, penipuan dan salah guna kuasa berleluasa" dalam agensi itu.
Namun hakim tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.
"Defendan telah membisukan VOA, membatalkan dana kepada rangkaian bersekutu dan menutup semua pemancar di stesen perkhidmatan luar negara," kata Lamberth.
"Kerosakan tidak dapat dipulihkan yang didakwa oleh plaintif melibatkan kewujudan USAGM itu sendiri, kesihatan dan keselamatan para wartawan serta kakitangannya, dan kepentingan berjuta-juta wartawan serta pendengar yang bergantung kepada program USAGM," tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami