INTERNATIONAL
Hamas akan bebaskan tebusan jika Israel jamin perang di Gaza ditamatkan

Seorang lelaki Palestin mengibarkan bendera sebagai reaksi kepada berita mengenai gencatan senjata awal tahun ini, di Deir Al-Balah, tengah Semenanjung Gaza, 15 Jan 2025. - Gambar fail/REUTERS
KAHERAH: Seorang pegawai kanan Hamas pada Isnin berkata, pasukan pejuang Palestin itu bersedia untuk membebaskan semua tebusan Israel sebagai pertukaran untuk “pertukaran tahanan yang serius” sekiranya Israel beri jaminan akan menamatkan perang di Gaza.
Hamas kini terlibat dalam rundingan di Kaherah bersama perantara dari Mesir dan Qatar - dua negara yang bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk merundingkan gencatan senjata di wilayah yang terkepung itu.
“Kami bersedia untuk membebaskan semua tahanan Israel sebagai pertukaran untuk perjanjian pertukaran tahanan yang serius, penamatan perang, pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza serta kemasukan bantuan kemanusiaan,” kata Taher Al-Nunu, seorang pegawai kanan Hamas.
Namun begitu, beliau menuduh Israel menghalang kemajuan ke arah gencatan senjata.“Isunya bukan bilangan tebusan,” kata Nunu.
“Tetapi penjajah melanggar komitmen mereka, menghalang pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan meneruskan peperangan.
“Oleh itu, Hamas menegaskan keperluan jaminan untuk memaksa penjajah (Israel) mematuhi perjanjian tersebut,” tambah beliau.
Laman berita Israel, Ynet, melaporkan pada Isnin, satu cadangan baharu telah dikemukakan kepada Hamas.
Di bawah perjanjian itu, kumpulan tersebut akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup sebagai pertukaran untuk jaminan daripada AS bahawa Israel akan memasuki fasa kedua rundingan gencatan senjata.
Fasa pertama gencatan senjata, yang bermula pada 19 Januari lalu dan merangkumi beberapa pertukaran tebusan-tahanan, berlangsung selama dua bulan sebelum gagal diteruskan.
Usaha ke arah perjanjian gencatan senjata baharu kini tergendala, dipercayai disebabkan pertikaian berkaitan bilangan tebusan yang akan dibebaskan oleh Hamas.
Sementara itu, Nunu berkata, Hamas tidak akan melucutkan senjata - satu syarat utama yang ditetapkan Israel untuk menamatkan perang.
“Penenantangan senjata bukan untuk dirundingkan,” kata Nunu.
Perang di Gaza tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023. Serangan itu mengakibatkan 1,218 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Hamas turut didakwa menculik 251 tebusan, di mana 58 masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang menurut tentera Israel telah meninggal dunia.
Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad berkata, sekurang-kurangnya 1,574 rakyat Palestin telah terbunuh sejak 18 Mac, apabila gencatan senjata runtuh, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak perang bermula kepada 50,944 orang. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami