INTERNATIONAL
Hamas hantar delegasi ke Qatar, sambung rundingan gencatan senjata Gaza

Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal terpaksa berpindah dari Rafah ke Kem Muwasi susulan amaran tentera Israel untuk mengosongkan kawasan tersebut, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, 3 Apr 2025. - Gambar fail/AP
GAZA: Seorang lagi pegawai Hamas pada Selasa mengesahkan, pasukan pejuang Palestin itu akan menghantar delegasi ke Qatar bagi meneruskan rundingan gencatan senjata secara tidak langsung dengan Israel berhubung konflik berterusan di Gaza.
Pada hari sama, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, serangan udara Israel telah mengorbankan 38 nyawa dalam tempoh 24 jam lalu.
Rundingan yang sedang berjalan di Kaherah melibatkan cadangan agar Hamas membebaskan lapan hingga sepuluh tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Namun, satu isu utama yang masih menjadi pertikaian ialah sama ada perang ini akan ditamatkan sepenuhnya sebagai sebahagian daripada perjanjian baharu.Pegawai Hamas itu memaklumkan, rundingan di Qatar dijangka berlangsung lewat minggu ini atau awal minggu depan.
Beliau bercakap kepada media dengan syarat tidak dinamakan kerana tidak diberi kuasa untuk membincangkan perbincangan sensitif itu secara terbuka.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Israel mahupun Qatar.
Israel dan Hamas sebelum ini mencapai persetujuan gencatan senjata pada Januari lalu yang bertahan selama lapan minggu sebelum pertempuran disambung semula bulan lalu.
Gencatan senjata itu pada asalnya bertujuan membuka laluan kepada rundingan damai jangka panjang, namun Israel menegaskan, mereka enggan menamatkan perang selagi Hamas belum dikalahkan sepenuhnya.
Sejak gencatan senjata berakhir, ratusan nyawa telah terkorban di Gaza dan bantuan kemanusiaan disekat sepenuhnya oleh Israel.
Tentera Israel juga merampas kawasan-kawasan strategik di Gaza sebagai tekanan tambahan ke atas Hamas.
Pada Isnin, Pejabat Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap “paling buruk” sejak konflik bermula susulan serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata: “Tiada bahan api, makanan atau ubat-ubatan dibenarkan masuk sejak 2 Mac lalu.”
Serangan 7 Oktober itu mengorbankan kira-kira 1,200 orang – kebanyakannya orang awam – dan 251 individu dijadikan tebusan oleh militan diketuai Hamas.
Kebanyakan tebusan telah dibebaskan melalui rundingan sebelum ini, namun 59 masih berada di Gaza, dengan 24 daripadanya dipercayai masih hidup.
Kementerian Kesihatan Gaza menganggarkan hampir 51,000 rakyat Palestin telah terkorban dalam serangan balas Israel sejak perang bermula.
Lebih separuh daripada mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, 38 mayat mangsa serangan udara Israel telah dibawa ke hospital di seluruh Gaza.
Lebih 1,600 orang terbunuh sejak gencatan senjata runtuh bulan lalu. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami