INTERNATIONAL
Hamas kongsi video tebusan Israel-Amerika yang masih hidup

Tebusan yang dikenali sebagai sebagai Edan Alexander, seorang askar unit infantri elit mengkritik kerajaan Israel kerana gagal membebaskannya.
GAZA: Pasukan pejuang Palestin, Hamas menyiarkan satu video pada Sabtu yang menunjukkan seorang tebusan Israel-Amerika masih hidup, di mana lelaki itu mengkritik kerajaan Israel kerana gagal membebaskannya.
Kumpulan kempen Israel, Hostages and Missing Families Forum mengenal pasti individu itu sebagai Edan Alexander, seorang askar unit infantri elit yang bertugas di sempadan Gaza ketika dia diculik semasa serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Media antarabangsa, bagaimanapun, tidak dapat menentukan tarikh video itu dirakam.
Dalam video berdurasi lebih tiga minit itu menunjukkan tebusan berkenaan duduk dalam ruang kecil dan tertutup dan menyatakan hasratnya untuk pulang menyambut perayaan bersama keluarganya.Alexander menyatakan dia telah ditahan di Gaza selama 551 hari dan mempersoalkan mengapa dia masih ditahan dan merayu agar dibebaskan.
Israel kini sedang menyambut perayaan Passover, yang memperingati pembebasan orang Israel daripada perhambaan di Mesir seperti yang diceritakan dalam tradisi Yahudi.
Alexander yang menyambut ulang tahun ke-21 ketika dalam tawanan, dilahirkan di Tel Aviv dan dibesarkan di negeri New Jersey, Amerika Syarikat.
Dia kembali ke Israel selepas menamatkan pengajian sekolah menengah untuk menyertai tentera.
“Kami di Amerika sedang memulakan malam perayaan, manakala keluarga kami di Israel sedang bersiap sedia untuk duduk di meja,” kata keluarganya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh forum tersebut.
“Edan kami, seorang askar tunggal yang berhijrah ke Israel dan menyertai Briged Golani untuk mempertahankan negara dan rakyatnya, masih ditawan oleh Hamas.”
“Apabila anda duduk menyambut Passover, ingatlah bahawa ini bukanlah perayaan kebebasan selagi Edan dan tebusan lain belum pulang,” tambah keluarga itu.
Keluarganya juga tidak memberikan kebenaran kepada media untuk menyiarkan rakaman tersebut.
Dalam video tersebut, Alexander kelihatan bercakap di bawah tekanan sambil menunjukkan isyarat tangan mengkritik kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kerana gagal membebaskannya.
Video itu disiarkan beberapa jam selepas Menteri Pertahanan Israel Katz mengumumkan penguasaan ketenteraan terhadap koridor “paksi Morag” antara bandar Rafah dan Khan Younis di selatan Gaza.
Katz juga menggariskan rancangan untuk meluaskan serangan Israel ke seluruh wilayah Gaza.
Dalam satu kenyataan berasingan sebelum itu, Hamas berkata, operasi ketenteraan Israel di Gaza bukan sahaja membahayakan orang awam Palestin, malah meletakkan tebusan yang masih hidup dalam keadaan tidak menentu.
“Serangan ini bukan sahaja membunuh orang awam yang tidak bersenjata tetapi juga menjadikan nasib tawanan semakin tidak pasti,” kata Hamas.
Dalam serangan pada 7 Oktober 2023, Hamas didakwa menawan 251 orang tebusan.
Kini dilaporkan, 58 tebusan masih dalam tahanan termasuk 34 orang yang dipercayai telah mati, dakwa tentera Israel.
Sepanjang gencatan senjata yang berakhir pada 18 Mac lalu, seramai 33 tebusan dibebaskan, termasuk lapan mayat.
Serangan Hamas pada Oktober 2023 telah mengorbankan 1,218 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan data rasmi Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza pula melaporkan, sekurang-kurangnya 1,563 rakyat Palestin telah terbunuh sejak 18 Mac, menjadikan jumlah keseluruhan korban perang melebihi 50,933 orang sejak konflik bermula. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami