Hamas sahkan tebusan Israel akan dibebaskan sebelum sidang kemuncak keamanan di Mesir

Ahli keluarga tebusan yang masih ditahan pejuang Hamas berhimpun dalam satu perhimpunan di “Dataran Tebusan” di Tel Aviv, Israel, pada Sabtu, susulan pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza. - Gambar Reuters
GAZA: Hamas akan memulakan pembebasan tebusan Israel yang ditahan di Gaza pada pagi Isnin, menurut seorang pegawai kanan kumpulan pejuang Palestin itu kepada AFP - beberapa jam sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mempengerusikan sidang kemuncak antarabangsa di Mesir bagi membincangkan pelan keamanan baharu untuk rantau berkenaan.
Dalam fasa pertama perjanjian tersebut, Hamas yang melancarkan serangan terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 sekali gus mencetuskan perang akan membebaskan tebusan yang dipercayai masih hidup seramai 20 orang, sebagai pertukaran kepada hampir 2,000 tahanan Palestin.
“Menurut perjanjian yang telah ditandatangani, pertukaran tahanan akan bermula pada pagi Isnin seperti yang dipersetujui,” kata pegawai Hamas, Osama Hamdan dalam temu bual bersama AFP pada Sabtu.
Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dijadual mempengerusikan sidang kemuncak yang dihadiri lebih 20 negara di pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh, pada petang Isnin, umum Pejabat Presiden Mesir.Mesyuarat itu bertujuan “mengakhiri perang di Gaza, memperkukuh usaha ke arah keamanan dan kestabilan di Asia Barat, serta membuka era baharu keselamatan serantau.”
Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer serta rakan sejawat dari Itali, Sepanyol dan Perancis - Giorgia Meloni, Pedro Sanchez dan Emmanuel Macron.
Tiada pengesahan sama ada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan hadir, manakala Hamas menegaskan ia tidak akan menyertai mesyuarat itu kerana peranannya hanya melalui perantara Qatar dan Mesir, menurut ahli biro politik Hamas, Hossam Badran.
Walaupun perjanjian ini dianggap satu kejayaan besar, para perantara masih berdepan cabaran untuk mencari penyelesaian politik jangka panjang — termasuk memastikan Hamas melucutkan senjata dan menyerahkan pentadbiran Gaza.
Badran mengakui fasa kedua pelan Trump “mengandungi banyak kerumitan dan cabaran,” manakala seorang pegawai Hamas yang enggan dikenali menegaskan bahawa pelucutan senjata adalah “sesuatu yang tidak akan berlaku.”
Pasukan pelbagai negara ambil alih kawalan Gaza
Mengikut pelan Trump, seiring dengan pengunduran berperingkat tentera Israel dari bandar-bandar Gaza, kawalan akan diambil alih oleh pasukan pelbagai negara terdiri daripada Mesir, Qatar, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), di bawah penyelarasan pusat komando yang diketuai AS di Israel.
Pada Sabtu, Ketua Komando Pusat AS (CENTCOM) Laksamana Brad Cooper, Utusan Khas Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff, serta menantunya, Jared Kushner melawat Gaza — ketika ratusan ribu rakyat Palestin kembali ke rumah masing-masing yang musnah.
Witkoff, Kushner dan anak perempuan Trump, Ivanka, kemudian berangkat ke Tel Aviv menghadiri perjumpaan bersama keluarga tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza, di mana orang ramai bersorak “Terima kasih, Trump!”
Einav Zangauker yang anaknya Matan dipercayai antara 20 tebusan masih hidup berkata: “Kami akan terus bersuara dan berjuang sehingga semua dibawa pulang.”
Sementara itu, Zairo Shachar Mohr Munder, yang bapa saudaranya Abraham diculik semasa serangan Hamas dan mayatnya ditemui pada Ogos, menambah: “Akhirnya kami merasai sedikit harapan, tetapi perjuangan ini belum berakhir.”
Hamas mempunyai tempoh sehingga tengah hari Isnin untuk menyerahkan baki 47 tebusan — sama ada hidup atau mati - daripada 251 orang yang diculik dua tahun lalu dalam serangan yang meragut 1,219 nyawa, kebanyakannya orang awam.
Satu lagi mayat tebusan yang ditahan sejak 2014 juga dijangka dikembalikan.
Sebagai pertukaran, Israel akan membebaskan 250 tahanan, termasuk individu yang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas serangan berdarah anti-Israel, serta 1,700 warga Gaza yang ditahan sejak perang bermula.
Perkhidmatan Penjara Israel memaklumkan 250 tahanan keselamatan itu telah dipindahkan ke dua penjara sebagai persediaan untuk pertukaran.
‘Saya hanya berdiri dan menangis’
Menurut agensi pertahanan awam Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas, lebih 500,000 penduduk telah kembali ke Gaza City setakat petang Sabtu.
“Kami berjalan berjam-jam, setiap langkah diselubungi ketakutan dan kebimbangan terhadap rumah saya,” kata Raja Salmi, 52, kepada AFP.
Apabila tiba di kejiranan Al-Rimal, beliau mendapati rumahnya telah musnah sepenuhnya.
“Saya hanya berdiri dan menangis. Semua kenangan kini tinggal debu,” katanya.
Rakaman dron oleh AFP menunjukkan kawasan perumahan yang hancur - blok-blok apartmen lima tingkat tanpa dinding dan tingkap, runtuhan konkrit memenuhi jalan, sementara penduduk cuba mencari sisa barang mereka.
Pejabat kemanusiaan PBB (OCHA) memaklumkan Israel telah membenarkan penghantaran 170,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza sekiranya gencatan senjata terus dipatuhi.
‘Bagaikan bandar hantu’
Lelaki, wanita dan kanak-kanak dilihat meredah runtuhan bangunan dan kenderaan yang musnah, mencari sisa rumah mereka di antara timbunan konkrit.
Sami Musa, 28, berkata dia kembali seorang diri untuk memeriksa keadaan rumah keluarganya.
“Syukur... rumah kami masih berdiri,” katanya kepada AFP.
“Namun rasanya seperti berada di bandar hantu, bukan Gaza. Bau kematian masih kuat di udara,” katanya sebak.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 67,682 orang terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di wilayah itu - angka yang disahkan boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Data itu tidak membezakan antara orang awam dan pejuang, namun menunjukkan lebih separuh daripada mangsa yang terbunuh ialah wanita dan kanak-kanak. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami