DUNIA
"Hamas sedang lakukan yang terbaik untuk hentikan perang, yang bermasalah sekarang Israel" – PM Pihak Berkuasa Palestin

PA telah menyampaikan kepada Hamas keperluan mendesak untuk menamatkan konflik demi kepentingan rakyat Palestin selain menekankan pentingnya kerjasama antara Hamas dan Israel bagi mencapai penyelesaian, kata Mustafa.
RAMALLAH: Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mohammad Mustafa menyatakan, Hamas sedang "melakukan yang terbaik" untuk menamatkan perang di Gaza, namun menegaskan, halangan sebenar masih datang dari pihak Israel.
Dalam wawancara eksklusif bersama CNN, Mustafa berkata, pihaknya telah menyampaikan kepada Hamas keperluan mendesak untuk menamatkan konflik demi kepentingan rakyat Palestin selain menekankan pentingnya kerjasama antara Hamas dan Israel bagi mencapai penyelesaian.
“Saya percaya mereka (Hamas) sedang berusaha sedaya upaya – sekurang-kurangnya dari apa yang kami faham. Mereka memberi kerjasama sebaik mungkin,” katanya kepada penyampai Christiane Amanpour.
Mustafa turut meluahkan kemarahan terhadap krisis kebuluran yang semakin meruncing di Gaza, selain kekurangan bantuan kemanusiaan yang menurutnya berpunca daripada sekatan ketat Israel.Beliau menggesa agar lintasan sempadan dibuka segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.
“Banyak bantuan kini menunggu di pintu masuk. Namun pintu-pintu ini ditutup oleh kerajaan Israel,” ujarnya.
Israel menafikan bertanggungjawab atas krisis tersebut dan sebaliknya menuduh Hamas sebagai dalang yang sengaja "mencipta" kekurangan bekalan makanan.
Israel juga menolak tekanan antarabangsa untuk membuka lebih banyak saluran bantuan, dengan mendakwa bahawa trak-trak bantuan telah sedia menunggu di sempadan untuk diambil oleh agensi-agensi bantuan.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini turut menyifatkan krisis kebuluran di Gaza sebagai "kebuluran besar yang direka manusia" akibat sekatan bantuan ke wilayah itu. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami