GAZA: Pasukan Hamas menayangkan rakaman video seorang wanita Perancis-Israel yang didakwa ditawan mereka di Semenanjung Gaza.

Dalam video tersebut, Mia Schem yang berusia 21 tahun dari Shoham, Israel mendakwa, dia mengalami kecederaan lengan dan dibawa ke Gaza.

Wakil keluarga Schem memberitahu CNN mereka telah menyatakan persetujuan mengenai penerbitan dan penyiaran video tersebut.

Ini merupakan video pertama yang dikeluarkan oleh Hamas berhubung tawanan mereka di Gaza.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa Israel percaya terdapat 199 orang yang ditahan di Gaza, sementara wakil Hamas berkata pada Isnin bahawa sekurang-kurangnya antara 200-250 tawanan ditahan di seluruh wilayah tersebut.

Angkatan Pertahanan Israel dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, mereka telah memaklumkan kepada keluarga Schem mengenai penculikan wanita itu minggu lalu dan masih berhubung sehingga kini.

Israel turut memberitahu, mereka menggunakan "semua maklumat dan cara operasi untuk membawa pulang tawanan-tawanan."

Bahkan, tegas Isreael: "Hamas cuba menampilkan dirinya sebagai sebuah pertubuhan kemanusiaan (dalam masa sama) bertindak sebagai pertubuhan pengganas yang menjalankan pembunuhan dan penculikan terhadap bayi, wanita, kanak-kanak, dan warga emas."

Wakil dari Al-Qassam Brigades, cawangan tentera Hamas sebelum ini mengeluarkam kenyataan bahawa kumpulan itu "berazam" untuk melindungi tawanan dan akan melepaskan tawanan-tawanan dengan kewarganegaraan asing apabila "peluang itu muncul di depan mata." - Agensi