PARIS: Hampir 1,700 wartawan terbunuh di seluruh dunia sejak 20 tahun lalu dengan anggaran purata lebih 80 kematian dalam setahun.

Angka ini dikeluarkan diterbitkan oleh Reporters Without Borders (RSF) memaklumkan angka dicatatkan dalam tempoh 2003 hingga 2022.

Pejuang hak media yang berpangkalan di Paris itu memberitahu tahun antara 2003 dan 2022 disifatkan sebagai “dekad pembunuhan mereka yang berkhidmat atas hak untuk memaklumkan".

"Di sebalik angka ini, terdapat wajah, keperibadian, bakat dan komitmen mereka yang sanggup bergadai nyawa untuk mengumpul maklumat, pencarian kebenaran dan semangat dalam bidang kewartawanan," kata setiausaha agung RSF Christophe Deloire.

Laporan itu dikeluarkan tujuh bulan selepas wartawan televisyen Al Jazeera yang berkhidmat selama 25 tahun, Shireen Abu Akleh maut dibunuh tentera Israel semasa membuat liputan serangan di Jenin, Tebing Barat.

Secara keseluruhan, 12 wartawan Al Jazeera telah terbunuh di barisan hadapan.

Dalam pada itu, Iraq dan Syria merupakan negara paling berbahaya untuk wartawan bekerja yang mana 578 individu terbunuh dalam tempoh 20 tahun atau lebih satu pertiga daripada jumlah di seluruh dunia.

Angka ini diikuti di Mexico (125 terbunuh), Filipina (107), Pakistan (93), Afghanistan (81), dan Somalia (78).

Laporan itu turut menyatakan bahawa 80 peratus daripada kematian pengamal media berlaku di 15 negara.

Tambah laporan RSF, tahun paling gelap bagi wartawan adalah pada 2012 dan 2013 disebabkan perang di Syria". Terdapat 144 kes pembunuhan pada 2012 dan 142 pada tahun selepas itu.

Walau bagaimanapun, angka itu kemudian menunjukkan penurunan sejak 2019.