MADINAH: Hampir 10 juta jemaah dan pengunjung menunaikan solat di Masjid Nabawi di Madinah, sepanjang 10 hari pertama Ramadan kali ini.

Pihak Berkuasa Umum bagi Hal Ehwal Masjid Nabawi menyediakan perkhidmatan bersepadu dan berkualiti tinggi, membolehkan orang ramai menunaikan solat dengan lancar dan cekap.

Menurut rekod yang dikeluarkan, Masjid Nabawi menyambut 9,818,474 jemaah dan 739,702 pengunjung mengunjungi makam Nabi Muhammad (SAW) dan dua sahabat baginda.



Masjid itu turut mengagihkan 195,800 botol air Zamzam kepada pengunjung dan jemaah, bersama-sama dengan 290,853 juadah berbuka puasa untuk individu yang berpuasa di kawasan yang ditetapkan di dalam Masjid Nabawi.

Di samping itu, pasukan bimbingan masjid berkenaan turut membantu 132,893 pengunjung dan 26,910 warga emas dan orang kurang upaya mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang diberikan kepada mereka.

Selepas menunaikan umrah di Masjidil Haram Makkah, jutaan umat Islam dari seluruh dunia turut mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah untuk solat dan melawat Raudhah.

Umrah merupakan ziarah ke dua tapak suci Islam di kota suci Mekah dan Madinah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Ia berbeza dengan ibadah haji yang diadakan setahun sekali. - Agensi