BERLIN: Kira-kira 1.9 juta individu berkelulusan pendidikan tinggi di Jerman berisiko jatuh miskin pada 2025, meningkat kira-kira 350,000 berbanding 2022, menurut data Pejabat Perangkaan Persekutuan yang diminta oleh Sahra Wagenknecht Alliance (BSW).
Peningkatan itu berlaku selari dengan pertambahan jumlah individu berpendidikan tinggi, lapor agensi berita Jerman dpa.
Advertisement
Pada 2025, kira-kira 21.04 juta orang memiliki ijazah universiti, universiti sains gunaan atau akademi profesional, berbanding 19.41 juta pada 2022.
Angka itu menunjukkan walaupun lebih ramai memperoleh kelayakan tinggi, tidak semuanya berjaya mendapatkan pekerjaan bergaji lumayan.
Data daripada Agensi Pekerjaan Persekutuan menunjukkan kadar pengangguran dalam kalangan individu berpendidikan akademik meningkat kepada 3.3 peratus pada 2025, berbanding 2.2 peratus pada 2022.
Bagaimanapun, risiko kemiskinan kekal jauh lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berpendidikan rendah. Daripada 14.34 juta individu berpendidikan rendah, hampir 4.14 juta berisiko jatuh miskin pada 2025, menurut pejabat statistik itu.
Individu dengan kelayakan peringkat sederhana juga berdepan risiko kemiskinan lebih tinggi berbanding siswazah.
Mengikut definisi rasmi, sesiapa yang memperoleh kurang daripada 60 peratus pendapatan median dianggap berisiko miskin. Pada 2025, ambang itu ditetapkan pada €1,446 (AS$1,700) sebulan bagi individu bujang.
Pengasas BSW Sahra Wagenknecht menyifatkan peningkatan risiko kemiskinan dalam kalangan individu berpendidikan tinggi sebagai kegagalan dasar ekonomi kerajaan.
“Kemerosotan dan kemiskinan kini menjejaskan semua peringkat pendidikan,” katanya sambil menggesa pembuat dasar memulihkan ekonomi serta membuka peluang mobiliti sosial melalui usaha dan kerja keras.
-- BERNAMA-dpa