Skip to main content

Malaysia

Kerajaan Selangor serah keputusan anjuran SUKMA kepada KBS, jawatankuasa tertinggi- MB

Amirudin Shari
Amirudin semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Tautan Muhibah anjuran Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) di SCCC hari ini. - Gambar Facebook Amirudin Shari

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bagi menentukan keputusan berhubung penganjuran temasya itu di negeri ini yang dijadualkan pada Ogos depan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebarang keputusan berkaitan SUKMA perlu dibuat pada peringkat pusat selaras dengan struktur tadbir urus sedia ada, selain memastikan persiapan atlet tidak terjejas menjelang Sukan SEA edisi 2027 yang menjadi fokus utama pembangunan sukan negeri.

Advertisement

“SU­KMA ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, bukan ditentukan oleh kerajaan negeri. Saya percaya Menteri Belia dan Sukan (Dr Mohammed Taufiq Johari) akan bertindak dengan sebaik mungkin dan membuat keputusan yang terbaik.

“Yang penting persediaan atlet kita untuk Sukan SEA 2027 tidak terganggu kerana SUKMA merupakan medium untuk mengenal pasti kebolehan atlet. Kita akan lihat secara menyeluruh selepas mendengar input ahli-ahli Dewan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Tautan Muhibah anjuran Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pihaknya akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk hasil perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum sebarang pendirian dimuktamadkan, bagi memastikan keputusan yang dibuat lebih seimbang dan menyeluruh.

Beliau berkata aspek implikasi kewangan menjadi antara pertimbangan penting memandangkan terdapat perbelanjaan awal yang telah dibuat serta risiko kerugian sekiranya berlaku perubahan keputusan pada peringkat akhir pelaksanaan.

“Kita akan kumpulkan semua pandangan termasuk daripada perbahasan dewan (DUN) dan dapatan terdahulu kerana isu ini pernah dibangkitkan sebelum ini termasuk kos yang telah dibelanjakan dan risiko kehilangan deposit jika tidak diteruskan.

“Keputusan perlu dibuat secara menyeluruh kerana walaupun kita mahu menjimatkan kos, ia tidak boleh hanya berdasarkan logik semata-mata, tetapi mesti berpaksikan realiti serta kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pandangan supaya penganjuran SUKMA Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata pojek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) kini mencatat kemajuan sebanyak 8.2 peratus, melibatkan kerja-kerja awalan termasuk pembersihan tapak serta kerja tanah yang sedang dilaksanakan di lokasi projek.

“Kalau kita tengok komen daripada orang awam macam tak ada langsung perkembangan di tapak, tetapi sebenarnya berlaku perkembangan kerja-kerja tanah dan setakat ini, dalam 8.2 peratus perkembangan yang kita laksanakan.

“Insya-Allah bulan Mei (atau) bulan Jun akan berlaku kerja-kerja cerucuk dan juga lebih banyak aktiviti akan berlaku di tapak dan insya-Allah Mei 2028 stadium akan siap dan macam titah Tuanku tadi, mungkin SUKMA dilaksanakan apabila stadium bersedia, insya-Allah kita akan bersedia pada 2029,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor turut memberikan perhatian kepada aspek pengurusan banjir yang menunjukkan penambahbaikan ketara hasil pelaksanaan beberapa langkah mitigasi sebelum ini.

Katanya, kerjasama dengan pihak Belanda akan diteruskan pada Mei ini selaras dengan titah Sultan Selangor, selain memperkukuh usaha bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam menangani isu banjir secara lebih menyeluruh dan berkesan.

-- BERNAMA

Must Watch Video