DALAM alam maya, hampir kesemua bercita-cita ingin mempunyai pengikut yang ramai atau dilabel sebagai ‘media influencer’.

Hakikatnya, jika anda ingin menjadi 'influencer' di media sosial, anda wajib mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 pengikut atau lebih.

Tetapi tidak di Indonesia, kerana anda hanya perlu mempunyai pengikut sekurang-kurangnya 500 pengikut, dan gelaran ‘influencer’ tersebut terus menjadi milik anda.

Baru-baru ini, kerajaan Indonesia telah menetapkan satu syarat kepada penjawat awam di negara itu untuk mempunyai pengikut yang ramai di media sosial bagi memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat dengan lebih pantas kepada rakyat jelata.

Ekoran itu, jurucakap Kementerian Komunikasi Indonesia, Ferdinandus Setu dalam sesi sidang akhbar memberitahu bahawa ia bertujuan untuk mewujudkan pegawai kerajaan yang aktif di dalam media sosial.

"Mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya 500 pengikut di Instagram dan Twitter dan sekurang-kurangnya 500 rakan di Facebook," kata Ferdinandus.

Penjawat awam, jelasnya, akan mendapatkan lencana khas yang melabelkan mereka sebagai orang berpengaruh ataupun ‘influencer’ dan akan menerima undangan khas untuk acara-acara yang dikendalikan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Komunikasi dan Maklumat Awam (IKP) Widodo Muktiyo berkata beliau menyokong idea itu, menjelaskan bahawa ia boleh menjadi satu pencapaian besar buat kerajaan dalam meningkatkan kaedah komunikasinya apatah lagi pada era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Pembangunan industri 4.0 bakal membawakan pelbagai inovasi baharu. Manusia dapat menyebarkan segala benda dengan pantas. IKP kini menjadi koordinator bagi perhubungan awam di Indonesia.

Pada masa sama, Widodo turut menjelaskan bahawa dengan gerakan ini, ia akan lebih memudahkan lagi urusan Kementerian Perhubungan Awam dalam melakukan tugas.