Harga borong Jepun naik 2.7 peratus pada Oktober

Harga borong di Jepun meningkat 2.7 peratus pada Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu, sedikit perlahan daripada bulan sebelumnya berikutan penurunan kos import. - Gambar Reuters
TOKYO: Harga borong di Jepun meningkat 2.7 peratus pada Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu, sedikit perlahan daripada bulan sebelumnya berikutan penurunan kos import.
Menurut Data Bank Pusat Jepun (BOJ) pada Khamis, kenaikan ini dicatatkan oleh Indeks Harga Barangan Korporat (CGPI), yang mengukur harga yang dikenakan syarikat antara satu sama lain bagi barangan dan perkhidmatan.
Angka tersebut hampir selaras dengan jangkaan pasaran untuk peningkatan 2.5 peratus, selepas semakan semula kenaikan 2.8 peratus pada September.
Dalam masa sama, indeks harga import berasaskan Yen menurun 1.5 peratus pada Oktober berbanding tahun sebelumnya, selepas penurunan 1.1 peratus yang disemak semula pada bulan sebelumnya.
Data harga borong ini menjadi antara petunjuk utama yang diteliti BOJ bagi mengukur inflasi pengguna, yang menjadi asas kepada penetapan dasar monetari bank pusat.
Walaupun inflasi pengguna melebihi dua peratus selama lebih tiga tahun, Gabenor Kazuo Ueda menekankan keperluan untuk berhati-hati dalam menaikkan kadar faedah selanjutnya bagi memastikan kenaikan harga didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, bukan kos bahan mentah. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


