KUALA LUMPUR: Dasar pengurusan cerun negara perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan awal bagi menjamin keselamatan infrastruktur negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cerun perlu diiktiraf sebagai aset penting negara dan harus diurus secara menyeluruh melalui penyelenggaraan berkala.
Advertisement
Jelas beliau, Malaysia sebagai negara pesat membangun dengan jaringan jalan raya yang luas, kini semakin bergantung kepada pembangunan di kawasan berbukit.
"Cerun bukan sekadar elemen geoteknikal tetapi aset kritikal yang memberi kesan langsung kepada keselamatan awam, kestabilan rangkaian pengangkutan dan keupayaan operasi negara.
"Hakikatnya, kegagalan pengurusan cerun bukan sahaja menyebabkan kerosakan fizikal, malah boleh mengganggu hubungan antara kawasan bandar dan luar bandar, menjejaskan rantaian logistik serta meningkatkan kos operasi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan International Conference on Slope (ICOS) 2026, di sini, pada Rabu.
ICOS 2026 diadakan selama dua hari bermula pada Rabu yang menghimpunkan lebih 500 pakar kejuruteraan cerun dan geoteknikal untuk membincangkan pelbagai isu keselamatan serta ketahanan cerun.
Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh dasar dan amalan pengurusan cerun dengan tumpuan kepada aspek ketahanan perkhidmatan, kecekapan perbelanjaan dan tadbir urus.
“Kos membaiki kerosakan akibat kegagalan cerun jauh lebih tinggi berbanding langkah pencegahan, justeru pelaburan awal berasaskan data perlu dipertingkatkan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Alexander berkata, keperluan pematuhan lebih jelas melibatkan semua pihak termasuk penguatkuasaan undang-undang sedia ada juga amat penting bagi mengelakkan kekeliruan tanggungjawab.
Rentetan itu, beliau berharap persidangan tersebut dapat menghasilkan pelan tindakan jelas, sistem amaran awal yang berkesan serta inovasi praktikal dalam pengurusan cerun.