Skip to main content

Dunia

Harga minyak meningkat susulan penutupan Selat Hormuz, ketegangan AS-Iran

U.S. and Iranian flags, 3D printed oil barrels and rising stock graph are seen in this illustration taken March 23, 2026. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration
Kenaikan berlaku ketika konflik di Asia Barat mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga, susulan tindakan AS dan Iran merampas kapal masing-masing. - Gambar hiasan/Reuters

ISTANBUL: Harga minyak meningkat pada Jumaat susulan penutupan berterusan Selat Hormuz dan ketegangan maritim yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

Niaga hadapan minyak mentah Brent penanda aras antarabangsa meningkat 0.63 peratus kepada AS$105.73 setong setakat 0545 GMT, manakala West Texas Intermediate (WTI) penanda aras AS naik 0.32 peratus kepada AS$96.17 setong.

Advertisement

Kenaikan berlaku ketika konflik di Asia Barat mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga, susulan tindakan AS dan Iran merampas kapal masing-masing manakala sekatan tentera laut menyebabkan Selat Hormuz terus ditutup.

Kira-kira 20 juta tong minyak dan produk petroleum melalui selat itu setiap hari sebelum perang, menjadikannya antara laluan tenaga paling kritikal di dunia.

Harga minyak terus meningkat walaupun Presiden AS Donald Trump pada Khamis berkata Israel dan Lubnan bersetuju melanjutkan gencatan senjata mereka selepas mesyuarat di Rumah Putih dengan pegawai kanan AS.

“Mesyuarat itu berjalan dengan sangat baik!” kata Trump menerusi platform Truth Social ketika mengumumkan lanjutan gencatan senjata itu.

Gencatan senjata yang pada awalnya ditetapkan berlangsung selama 10 hari dijangka memberi lebih banyak masa untuk rundingan diplomatik, manakala Washington turut berikrar menyokong usaha memperkukuh pertahanan Lubnan terhadap Hizbullah.

Bagaimanapun, gencatan senjata AS-Iran masih belum memulihkan trafik di Selat Hormuz, apabila konflik beralih kepada sekatan tentera laut dengan kedua-dua pihak berusaha mendapatkan pengaruh ekonomi bagi mencapai penyelesaian lebih menyeluruh.

Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol pada Khamis memberi amaran bahawa dunia berdepan ancaman keselamatan tenaga yang belum pernah berlaku sebelum ini ekoran penutupan Selat Hormuz dan gangguan lebih meluas.

“Kita sedang berdepan ancaman keselamatan tenaga terbesar dalam sejarah.

“Setakat hari ini, kita kehilangan 13 juta tong minyak sehari ... dan terdapat gangguan besar terhadap komoditi penting,” kata Birol kepada CNBC pada Khamis.

Birol sebelum ini memberi amaran bahawa perang Iran dan penutupan berterusan Selat Hormuz boleh mencetuskan “krisis tenaga terbesar yang pernah kita hadapi,” sambil menggesa kerajaan memperkukuh daya tahan menerusi sumber tenaga alternatif.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video