JERTIH: Sepasang warga emas terkejut selepas bunyi bising seekor kucing di luar rumah menemukan seekor ular sawa batik sepanjang tiga meter dan seberat kira-kira 70 kilogram (kg) di Kampung Tok Dor di sini pada 10.30 malam kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Mohd Fazlien Jaafar berkata warga emas berusia 60-an itu terkejut apabila mendapati reptilia tersebut memakan tiga daripada empat ekor anak kucing peliharaannya yang baru berusia seminggu.
“Menantu pasangan itu yang dimaklumkan mengenai kejadian tersebut kemudian menghubungi kami bagi mendapatkan bantuan.
“Bertindak atas maklumat itu, sebanyak empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menangkap ular berkenaan,” katanya hari ini.
Mohd Fazlien berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, ular itu didapati bersembunyi di atas siling stor di tepi rumah pengadu.
Beliau berkata anggota APM mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap reptilia itu yang membelit kerangka kayu pada bahagian siling, selain bertindak agresif sebelum dibawa ke pejabat APM untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA