Skip to main content

Dunia

Harga minyak turun bawah US$100 setong didorong rundingan gencatan senjata

FILE PHOTO: Tankers sail in the Gulf, near the Strait of Hormuz, as seen from northern Ras al-Khaimah, near the border with Oman’s Musandam governance, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in United Arab Emirates, March 11, 2026. REUTERS/Stringer/File Photo
Gencatan senjata selama dua minggu akan membolehkan kapal melalui Selat Hormuz, yang 20 peratus daripada bekalan minyak global bergantung padanya. - Gambar/ Reuters

KUALA LUMPUR: Harga minyak menurun di bawah paras US$100 setong selepas Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju dengan pelan gencatan senjata selama dua minggu sebagai pertukaran kepada Tehran membenarkan laluan selamat untuk kapal melalui Selat Hormuz. 

Setakat ini, minyak mentah Brent menurun 13.20 peratus kepada US$94.85 manakala West Texas Intermediate merosot 14.58 peratus kepada US$96.48 setong.

Advertisement

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama: “Apa yang kita lihat sekarang bukanlah satu perubahan struktur tetapi lebih kepada pengurangan mekanikal terhadap premium risiko geopolitik yang telah diambil kira berdasarkan senario paling buruk.

“Dalam masa terdekat, harga minyak boleh kekal di bawah US$100 tetapi tahap minimum adalah tidak stabil. Tanpa ketegangan mereda yang konkrit mengenai Selat Hormuz, risiko satu lagi lonjakan harga adalah amat tinggi,” katanya.

Innes berkata pelan gencatan senjata selama dua minggu memberi permulaan baharu.

Katanya situasi itu memberi ruang kepada pasaran untuk menilai semula keadaan tetapi tidak menyelesaikan isu utama berikutan ketiadaan kemajuan nyata dalam membuka semula selat boleh menyebabkan harga meningkat semula.

Beliau berkata risiko dari segi penawaran tetap ada disebabkan kerosakan infrastruktur yang mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk dibaiki.

Pada masa yang sama, katanya petunjuk jelas adalah bahawa selat tersebut terus dibuka kepada pergerakan kapal akan banyak membantu menurunkan harga.

Dalam senario itu, katanya harga kembali kepada paras US$90 setong adalah wajar jika ketegangan mereda mendapat momentum.

Beliau berkata hasil yang lebih optimis bergantung pada penyelarasan diplomatik yang berterusan walaupun ini masih tidak menentu.

Sementara itu, katanya pasaran tidak mengambil kira sepenuhnya mengenai jangkaan bahawa selat itu akan terus dibuka.

Innes berkata pertimbangan politik berkaitan pilihan raya separuh penggal AS boleh mengekang konflik yang berpanjangan terutamanya berdasarkan kedudukannya sebagai pengeluar minyak terbesar di dunia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa gencatan senjata selama dua minggu akan membolehkan kapal melalui Selat Hormuz, apabila 20 peratus daripada bekalan minyak global bergantung padanya.

Beliau berkata ketegangan yang terus mereda, jika dapat dicapai akan memberi laluan kepada pembinaan semula kemudahan minyak dan gas yang akan membantu mengurangkan kekangan bekalan.

“Pemulihan akan berlaku secara berperingkat. Apa yang pasaran mahukan ialah kepastian bahawa konflik akan berakhir dan perniagaan dapat diteruskan.

“Bagaimanapun, ia masih terlalu awal. Keadaan semasa adalah amat tidak menentu. Oleh itu, jangkaan adalah harga minyak mentah kekal tidak stabil dalam masa terdekat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video