SEKURANG-KURANGNYA 38 terkorban di Myamar pada Rabu dalam kejadian yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai hari paling berdarah sejak rampasan kuasa berlaku di negara berkenaan.

Wakil PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener mendakwa, berdasarkan rakaman video, pihak junta menggunakan peluru hidup untuk meleraikan penunjuk perasaan.

Protes secara besar-besar diadakan di seluruh Myanmar sebulan selepas rampasan kuasa oleh tentera 1 Februari, yang mencetuskan tunjuk perasaan berpanjangan sehingga hari ini.

Penunjuk perasaan menuntut supaya junta membebaskan barisan pemimpin kerajaan termasuk Aung San Suu Kyi, yang ditahan sejurus selepas rampasan kuasa.

BACA: Aung San Suu Kyi dan pemimpin kanan NLD ditahan

BACA: Aung San Suu Kyi dikenakan dua tuduhan jenayah baharu


Protes Myanmar | Korban pertempuran dengan Junta kini 38 orang

Menurut Bergener, sekurang-kurangnya 50 telah terkorban dan ratusan cedera sejak rampasan kuasa berlaku.

Katanya laporan dari dalam Myanmar menyatakan pihak keselamatan tidak memberi amaran sebelum melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di beberapa bandar, termasuk Yangon.

Beliau turut mendakan remaja berusia 14 dan 17 tahun antara korban terbaharu yang dicatatkan.

“Saya mengadakan rundingan dengan junta tentera dan memberi amaran negara anggota dan majlis keselamatan akan mengambil tindakan tegas.

“Mereka pula berkata mereka sudah biasa dengan sekatan dan telah berjaya mengharunginya sebelum ini,” katanya.

Siri protes anti junta mengambil tempat di seluruh Myanmar sejak rampasan kuasa.

Keganasan terbaru ke atas penunjuk perasaan ini berlaku ketika negara-negara jiran mendesak junta tentera untuk menghormati demokrasi.