Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
DUNIA

Hasrat Trump menang Hadiah Keamanan Nobel 2025 tidak kesampaian

Astro Awani 10/10/2025 | 09:50 MYT
Trump sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat untuk menerima anugerah tersebut yang pernah dimenangi empat bekas Presiden AS, termasuk Barack Obama pada 2009. - Gambar fail/AP
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump gagal meraih Hadiah Keamanan Nobel 2025.

Sebaliknya, aktivis pembangkang Venezuela, María Corina Machado diumum sebagai penerima anugerah berprestij tersebut.

Memetik Jawatankuasa Nobel Norway, penghargaan itu diberikan atas “usaha tanpa jemu Maria dalam memperjuangkan hak demokratik rakyat Venezuela serta perjuangannya bagi memastikan peralihan kuasa secara adil dan aman daripada pemerintahan diktator kepada demokrasi.”

Dalam pada itu, bercakap kepada pemberita di Oval Office pada Khamis, Trump berkata beliau menghormati keputusan itu namun menegaskan tindakannya bukan dilakukan demi anugerah tersebut.

“Saya hentikan lapan peperangan dan itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Tapi apa pun keputusan mereka, saya terima. Saya tidak lakukannya untuk anugerah itu, saya lakukannya kerana saya telah menyelamatkan banyak nyawa,” katanya.

Trump sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat untuk menerima anugerah tersebut yang pernah dimenangi empat bekas Presiden AS, termasuk Barack Obama pada 2009.

Beliau juga sering mengambil kredit atas usahanya menamatkan beberapa konflik di peringkat global.




#Nobel Peace Prize #Donald Trump #United States