HARI ini dunia menyaksikan wanita menjadi antara topik utama dalam perbincangan berkenaan hak asasi manusia.

Usaha memperjuangan hak wanita dapat dilihat melalui Konvensyen Berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang merupakan salah satu agenda penting di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sungguhpun begitu, masih terdapat hak wanita yang ditindas di beberapa negara.

Hasil tinjauan berdasarkan kajian The Thomson Reuters Foundation mendedahkan pelbagai faktor berkaitan, hingga membuatkan 10 negara ini paling bahaya untuk wanita.

India

India tersenarai sebagai negara paling bahaya untuk wanita dengan mencatatkan kes ancaman keganasan yang tertinggi. Ini dibuktikan dengan kegagalan kerajaan India menangani kes rogol dan bunuh seorang pelajar di Delhi, lima tahun lalu yang menyebabkan tercetusnya kemarahan seluruh negara.

Antara ancaman utama yang dilalui oleh wanita India adalah seperti penderaan seksual, pemerdagangan manusia, buruh paksa, perhambaan seks dan perhambaan domestik.

Afghanistan
Wanita di Afghanistan berdepan dengan penindasan melalui akses kesihatan, penindasan melalui sumber ekonomi dan keganasan bukan seksual. -Foto Reuters

Kajian mendapati wanita di negara berkenaan mengalami nasib yang buruk kesan daripada pemerintahan Taliban sejak 17 tahun lepas.

Ia tersenarai sebagai negara yang berbahaya untuk wanita melalui tiga aspek iaitu penindasan kepada akses kesihatan, penindasan melalui sumber ekonomi dan keganasan bukan seksual.

Syria

Selepas tujuh tahun perang saudara berakhir, wanita di Syria berdepan dengan ancaman akses kesihatan yang terhad dan keganasan bukan seksual.

Ia termasuklah keganasan berkaitan konflik penderaan secara domestik.

Somalia
Wujud juga budaya yang diamalkan oleh masyarakat Somalia yang meletakkan wanita pada keadaan yang terancam. -Foto AP

Menduduki tangga keempat, Somalia menjadi negara paling bahaya untuk wanita berikutan akses kesihatan dan ekonomi yang terhad untuk golongan berkenaan.

Selain itu, wujud juga budaya yang diamalkan oleh masyarakat Somalia yang meletakkan wanita pada keadaan yang terancam.

Arab Saudi

Kajian yang sama meletakkan Arab Saudi sebagai negara yang berbahaya untuk wanita lantaran pemerintahan yang bersifat konservatif seperti diskriminasi di tempat kerja dan hak memiliki harta.

Pakistan

Tersenarai sebagai negara keenam paling teruk dari aspek ekonomi, Pakistan turut mengamalkan budaya yang mengancam nyawa wanita seperti amalan ‘pembunuhan bermaruah’.

Ia juga menduduki tangga kelima dalam keganasan bukan seksual seperti penderaan domestik.

Republik Demokratik Congo
Wanita di Kango tidak mampu berdaya-saing setelah bertahun-tahun berada dalam situasi pertumpahan darah. -Foto Reuters

Tersenarai sebagai negara ketujuh paling bahaya untuk wanita terutamanya dari aspek keganasan seksual.

Congo juga pernah dikritik oleh PBB kerana pentadbiran kerajaan negara berkenaan tidak mampu berdaya-saing setelah bertahun-tahun berada dalam situasi pertumpahan darah.

Yaman

Tersenarai sebagai negara yang tidak mampu menyediakan akses yang baik kepada wanita dari sudut kesihatan, sumber ekonomi selain memiliki amalan tradisi yang membahayakan.

Kini, Yaman masih bergantung kepada bantuan kemanusiaan bagi memenuhi keperluan asas 22 juta penduduknya dalam menangani krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Nigeria

Tersenarai sebagai negara kesembilan paling bahaya untuk wanita berikutan wujud isu penyeksaan seperti merogol dan membunuh orang awam oleh tentera mereka sewaktu memerangi ekstremis Boko Haram.

Nigeria dinamakan sebagai negara keempat paling bahaya dalam isu pemerdangan manusia selain menjadi negara keenam yang mengamalkan amalan tradisi yang membahayakan wanita.

Amerika Syarikat
Wanita di Amerika Syarikat berdepan paksaan melakukan seks, dan akses kurang keadilan dalam menangani kes rogol. -Foto Reuters

Sebagai satu-satunya negara barat yang tersenarai sebagai negara yang bahaya untuk wanita dari aspek gangguan seksual. Ia termasuklah paksaan melakukan seks, dan akses kurang keadilan dalam menangani kes rogol.

Kajian ini dijalankan selepas kempen #MeToo yang telah menjadi viral tahun lalu apabila beribu-ribu wanita menggunakan sosial media untuk berkongsi kisah mereka menghadapi keganasan seksual dan penderaan.