NEW YORK: Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) akan menghentikan kutipan duti tambahan menurut Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) mulai Selasa, susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada 20 Feb, lapor Xinhua.
Panduan terbaharu itu melibatkan duti tambahan ad valorem yang diliputi di bawah tujuh perintah eksekutif yang ditandatangani dari 1 Feb 2025 hingga 6 Ogos 2025, menurut buletin yang dikeluarkan CBP pada 22 Feb.
Advertisement
Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Jumaat lepas memutuskan bahawa tarif menyeluruh yang dikenakan oleh Presiden AS Donald Trump di bawah IEEEPA, yang bertujuan digunakan ketika kecemasan negara, adalah tidak sah, sekali gus membatalkan secara rasmi tarif global yang diperkenalkan sejak April.
“Sehubungan dengan perkembangan terkini, duti tambahan ad valorem yang dikenakan menurut IEEEPA tidak lagi berkuat kuasa dan, secepat yang dapat dilaksanakan, tidak lagi akan dikutip,” menurut perintah eksekutif itu.
Trump memberi kuasa kepada semua jabatan dan agensi eksekutif untuk segera mengambil langkah sewajarnya bagi menamatkan kutipan duti tambahan ad valorem yang dikenakan di bawah IEEEPA.
CBP telah mengutip sebanyak US$175 bilion dalam bentuk duti menurut IEEEPA, berdasarkan anggaran oleh Penn-Wharton Budget Model.
Sementara itu, pentadbiran Trump dijadual mengenakan tambahan tarif 15 peratus ke atas barangan import dari semua negara mulai Selasa, menurut pengisytiharan Rumah Putih dan satu hantaran media sosial Trump pada Sabtu.
Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 membenarkan presiden mengenakan duti sehingga 15 peratus bagi tempoh maksimum 150 hari ke atas mana-mana atau semua negara bagi menangani isu imbangan pembayaran yang “besar dan serius”. Sebarang lanjutan melebihi 150 hari memerlukan kelulusan Kongres.
-- BERNAMA-XINHUA