BEIRUT: Tindakan Israel memperluaskan operasi darat di wilayah Lubnan terus mencetuskan reaksi berbeza daripada komuniti antarabangsa, termasuk gesaan supaya dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Perkembangan itu menyusul selepas tentera Israel dilapor memperluaskan operasi ke utara Sungai Litani serta mendakwa menguasai kawasan strategik termasuk Istana Beaufort di selatan Lubnan.
Presiden Perancis Emmanuel Macron menegaskan tiada alasan yang boleh membenarkan peningkatan konflik berskala besar di wilayah tersebut.
Susulan itu, Perancis secara rasmi memohon satu sidang tergempar UNSC diadakan bagi membincangkan situasi berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Luar United Kingdom Yvette Cooper menggesa Israel menghentikan operasi ketenteraan, sambil memberi amaran bahawa tindakan berterusan boleh menjejaskan usaha diplomasi.
Jerman pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati apabila Menteri Luarnya Johann Wadephul menyifatkan operasi tersebut sebagai langkah keselamatan, namun pada masa sama menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam dan implikasi kemanusiaan.
Di rantau Asia Barat, Qatar mengutuk perluasan operasi tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan yang mencetuskan ketegangan serta melanggar kedaulatan negara.
Mesir turut menyatakan solidariti terhadap Lubnan, dengan Menteri Luar Badr Abdelatty menggesa pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah negara itu.
Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan terhadap risiko peningkatan konflik yang lebih meluas di rantau Asia Barat, di tengah usaha berterusan komuniti antarabangsa untuk mengekalkan kestabilan.