BEIRUT: Hezbollah menafikan pada Sabtu sebarang penglibatan dalam insiden membabitkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di selatan Lubnan yang mengorbankan seorang anggota pasukan pengaman dari Perancis, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan, Hezbollah menggesa semua pihak agar "berwaspada dalam menuding jari dan meletakkan tanggungjawab" sehingga siasatan Tentera Lubnan menjelaskan perkara sebenar mengenai insiden itu.
Advertisement
Kumpulan itu turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara penduduk tempatan, UNIFIL dan Tentera Lubnan.
Terdahulu pada hari yang sama, UNIFIL memaklumkan, seorang anggota pasukan pengaman Perancis yang berkhidmat dengan pasukan PBB maut manakala tiga lagi cedera selepas mereka ditembak dengan senjata ringan di Kampung Ghandourieh di selatan Lubnan ketika dalam rondaan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron menerusi platform X berkata, "segala petunjuk menunjukkan" serangan itu merupakan tanggungjawab Hezbollah dan menyeru pihak berkuasa Lubnan untuk segera menahan pihak yang bertanggungjawab.
--BERNAMA-XINHUA