WASHINGTON: Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton menegaskan, beliau “tidak mempunyai sebarang pengetahuan” mengenai kegiatan jenayah Jeffrey Epstein ketika memberi keterangan kepada sebuah Jawatankuasa Dewan Perwakilan yang sedang menyiasat hubungan tokoh-tokoh berprofil tinggi dengan ahli kewangan tersebut.
Dalam masa sama, ahli Parti Demokrat mempertahankan Hillary.
Advertisement
Dalam kenyataan pembukaannya, Hillary menuduh siasatan yang dijalankan jawatankuasa tersebut sebagai “teater politik kepartian” dan menggesa agar Presiden AS, Donald Trump turut dipanggil memberi keterangan.
Dalam sesi pendengaran tertutup di Chappaqua, New York, Hillary berkata, beliau tidak pernah bertemu Epstein atau menaiki pesawatnya, selain menegaskan tidak pernah melawat mana-mana premis milik lelaki itu.
Sehubungan itu, tegas Hillary, beliau tiada maklumat tambahan yang boleh dikemukakan kepada penyiasat.
Suaminya, bekas Presiden AS, Bill Clinton dijangka memberi keterangan kepada panel yang sama pada Jumaat.
Pasangan itu sebelum ini menolak sepina yang dikeluarkan oleh jawatankuasa, menyifatkannya bermotifkan politik, namun akhirnya bersetuju hadir selepas kemungkinan tindakan menghina Kongres dibincangkan.
Kedua-dua Hillary dan Bill Clinton sebelum ini menafikan sebarang salah laku berkaitan Epstein, dengan Bill menjelaskan, hubungan mereka terhad kepada urusan selepas beliau meninggalkan White House dan berkaitan kerja amal.
Menurutnya, hubungan itu terputus lebih dua dekad lalu.
Dalam kenyataan pembukaannya yang dikongsi di platform X, Hillary turut menggesa jawatankuasa berkenaan agar memanggil Presiden AS, Donald Trump untuk memberi keterangan di bawah sumpah, memandangkan namanya turut muncul dalam dokumen-dokumen berkaitan siasatan Epstein.
Trump juga sebelum ini menafikan sebarang salah laku.
Fail-fail siasatan Jabatan Kehakiman sebelum ini menunjukkan Epstein mempunyai hubungan dengan ramai individu berprofil tinggi, termasuk selepas beliau disabitkan kesalahan pada ketika itu.
Namun, kemunculan nama tokoh tertentu dalam dokumen terbabit tidak menunjukkan sebarang bukti salah laku.
Pendengaran pada Khamis itu turut diselangi insiden apabila sesi terpaksa dihentikan seketika selepas seorang ahli Kongres dipercayai membocorkan foto Hillary kepada seorang pempengaruh konservatif.
Usaha mendapatkan keterangan daripada pasangan Clinton digambarkan pengerusi jawatankuasa, James Comer, sebagai langkah bipartisan bagi menegaskan bahawa “tiada sesiapa berada di atas undang-undang.”
Penampilan Bill Clinton pada Jumaat dijangka mencatat sejarah, kerana ia merupakan kali pertama seorang bekas Presiden AS tampil memberi keterangan kepada panel Kongres sejak era Gerald Ford pada tahun 1983. - Agensi