Hong Kong jalankan pilihan raya ketika bandar berkabung tragedi kebakaran terburuk

Sebuah kotak undi dipamerkan di pusat pengundian semasa Pilihan Raya Umum Majlis Perundangan di Hong Kong pada Ahad. - Foto AP
HONG KONG: Penduduk Hong Kong hari ini keluar mengundi dalam pilihan raya Majlis Perundangan (LegCo), ketika bandar itu masih dirundung duka akibat kebakaran pangsapuri yang meragut sekurang-kurangnya 159 nyawa, menjadikannya tragedi kebakaran paling dahsyat dalam tempoh hampir 80 tahun.
Ringkasan AI
- Penduduk Hong Kong mengundi dalam pilihan raya LegCo sambil meratapi tragedi kebakaran di Wang Fuk Court yang meragut nyawa 159 orang.
- Pilihan raya kedua sejak pindaan sistem pilihan raya pada 2021, hanya calon 'patriot' dan setia kepada Beijing dibenarkan bertanding untuk 90 kerusi dalam LegCo.
- Suasana pilihan raya dipengaruhi kemarahan rakyat terhadap pengurusan tragedi kebakaran, di mana bahan substandard dipercayai punca api merebak serta siasatan jenayah dan rasuah sedang dijalankan.
Namun, suasana pilihan raya kali ini dibayangi kemarahan dan kesedihan rakyat terhadap pengurusan kerajaan dalam tragedi kebakaran di Wang Fuk Court, Tai Po, yang mengambil masa hampir dua hari untuk dipadamkan sepenuhnya.
Siasatan awal mendapati bahan binaan substandard yang digunakan dalam pengubahsuaian bangunan dipercayai menjadi punca api merebak dengan pantas.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan jenayah dan rasuah berhubung insiden tersebut, dalam usaha meredakan kemarahan awam.
Bantuan kecemasan telah diagihkan kepada mangsa terselamat, dan Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, berjanji akan mengemukakan cadangan kepada LegCo baharu bagi menyokong mangsa dan keluarga mereka.
Pemerhati politik menjangkakan kadar keluar mengundi mungkin rendah, susulan kekecewaan rakyat terhadap sistem politik semasa dan pengendalian tragedi kebakaran.
Pada pilihan raya 2021, hanya sekitar 30 peratus pengundi keluar mengundi, angka terendah dalam sejarah Hong Kong moden.
Walaupun kerajaan melancarkan kempen besar-besaran untuk menggalakkan penyertaan, ramai penduduk masih kurang yakin terhadap keberkesanan pilihan raya yang dikawal ketat itu.
Beberapa penganalisis melihat keputusan pilihan raya ini sebagai ujian terhadap sentimen awam dan tahap kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran semasa.
Pilihan raya ini berlangsung dalam suasana berkabung, dengan ramai penduduk masih menghadiri upacara memperingati mangsa kebakaran.
Bendera dikibarkan separuh tiang di beberapa lokasi utama, manakala papan kempen pilihan raya berdiri bersebelahan dengan tempat penghormatan awam kepada mangsa tragedi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


