BANDAR GAZA/ISTANBUL: Hospital Pakar Kuwait di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, pada Ahad mengumumkan penggantungan operasi di semua jabatan kecuali perkhidmatan kecemasan susulan terhentinya bekalan bahan api di tengah-tengah sekatan Israel, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami kesal untuk mengumumkan penggantungan operasi di jabatan hospital, kecuali jabatan kecemasan, mulai hari ini, Ahad, berikutan terhentinya bekalan bahan api yang diperlukan untuk mengoperasikan kemudahan ini," menurut hospital itu dalam kenyataan.
Hospital itu memberi amaran bahawa krisis yang berterusan akan menyebabkan "ribuan penduduk dinafikan rawatan perubatan setiap hari".
Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah kesan perang Israel di Semenanjung Gaza, yang disertai sekatan yang diperketat serta serangan meluas terhadap infrastruktur dan sistem penjagaan kesihatan di wilayah berkenaan.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 73,000 orang dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah itu.
-- BERNAMA-ANADOLU